Polis Cekup 20 Mat Rempit, Paksa Tolak Motor Sejauh 3 Km

KUALA TERENGGANU – Dua puluh remaja terpaksa menolak motosikal mereka sejauh 3 km selepas dicekup polis berlumba haram di Bandar Paka di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata remaja berusia dalam lingkungan 14 hingga 18 tahun itu ditahan ketika leka melakukan pelbagai aksi berbahaya di sepanjang Jalan Santong – Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah semasa kebanyakan umat Islam menunaikan solat Tarawih.

Katanya kumpulan itu ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun kerana menjadikan laluan itu sebagai litar lumba sekaligus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

“Operasi yang bermula pada jam 10.00 hingga 12.00 tengah malam itu adalah berdasarkan pada aduan orang ramai.

“Sebelum tangkapan dilakukan, pihak polis turut melakukan intipan bagi mengenal pasti laluan utama yang digunakan mereka untuk berlumba,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis menyita 8 buah motosikal dan mengeluarkan 42 saman kepada kesemua remaja terbabit atas pelbagai kesalahan berkaitan trafik.

Antara kesalahan mereka ialah tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

Zailani turut mengingatkan ibu bapa mengambil tahu pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam aktiviti lumba haram dalam usaha mengekang gejala itu.

“Ibu bapa boleh dikenakan tindakan kerana membenarkan anak mereka yang di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.