Penjaga Garisan ‘Tangan Tuhan’ Meninggal Dunia

SOFIA, Bulgaria – Penjaga garisan yang gagal mengesan gol ‘tangan tuhan’ Diego Maradona ketika menentang England pada Piala Dunia 1986 disahkan meninggal dunia, pada usia 80 tahun, awal pagi tadi.

Menurut AFP, kematian Bogdan Dotchev yang juga bekas pemain skuad kebangsaan Bulgaria itu dinyatakan Persatuan Bola Sepak Bulgaria.

Dia terkenal gara-gara bertugas sebagai penjaga garisan ketika kapten Argentina, Maradona melompat di atas penjaga gol England, Peter Shilton untuk menumbuk masuk gol pembukaan pada aksi suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico, lapor BH.

Diego Maradona Maradona menyusul dengan satu lagi jaringan, empat minit selepas itu yang dianggap jaringan terhebat dalam sejarah Piala Dunia, apabila menggelecek melepasi lima pemain England dari bahagian tengah padang untuk menghadiahkan Argentina kemenangan 2-1.

Ia memacu Argentina ke final sebelum mereka menewaskan Jerman Barat 3-2 untuk menjulang trofi keagungan itu di hadapan 115,000 penonton di Stadium Aztec.

Selepas pertemuan dengan England, Maradona menyifatkan jaringan pertamanya itu sebagai gol bantuan ‘tangan tuhan’.

Walaupun sering dikritik, Dotchev tetap teguh dengan pendirian yang mengatakan dia tidak nampak Maradona menggunakan tangan.

“Saya tidak gemar bercakap mengenai ‘tangan tuhan’ kerana saya seorang yang jujur tidak kira apa yang dikatakan mengenai saya,” kata Dotchev ketika ditemui media Bulgaria pada tahun lalu apabila usianya mencecah 80 tahun.

Bagaimanapun, dia menegaskan tidak mahu bertemu dengan Maradona dengan berkata: “Dia mengganggu seluruh hidup saya – saya dituduh walaupun saya tidak bersalah,”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.