Pemandu Myvi Lawan Arus Ditahan Bantu Siasatan

Polis menahan pemandu kereta Perodua Myvi yang dipercayai memandu melawan arus di KM34, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai, dekat Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 29 tahun dan berasal dari Pasir Gudang itu, ditahan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, awal hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

“Pemandu kereta tersebut datang ke Bahagian Trafik IPD Kulai kira-kira 1.10 pagi tadi berhubung satu rakaman video yang menjadi tular dalam media sosial.

“Rakaman percakapan dilakukan terhadap pemandu tersebut dan dia mengaku memandu kereta itu seorang diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata lelaki berkenaan kini ditahan di lokap IPD Kulai dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai, hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Semalam, video berdurasi satu minit 26 saat yang memaparkan sebuah Perodua Myvi dipandu melawan arus itu menjadi viral dalam laman media sosial.

Kejadian dipercayai kira-kira 8.20 pagi itu dirakam beberapa pengguna lebuh raya sebelum dimuat naik dalam laman sosial Facebook dan turut dikongsi di aplikasi WhatsApp.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.