Najib: Jagalah Tutur Kata Semasa Ramadan

Sempena menghayati Ramadan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru semua umat Islam untuk menjaga utur kata mereka dan mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebarkan fitnah.

Dalam catatan di blog, hari ini, katanya, umat Islam seharusnya mengambil peluang untuk menghayati Ramadan kerana bulan itu penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT, di mana pahala ibadah dilipat gandakan.

Menurutnya, Allah SWT juga menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan.

“Selain memperbanyakkan ibadah dan memohon keampunan daripada Allah SWT, saya amat tertarik dengan perkongsian daripada Mufti Menk yang mengajak kita untuk memberhentikan tabiat-tabiat buruk serta menjaga tutur kata lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya merujuk kepada ulama popular dan Mufti Besar Zimbabwe, Ismail Musa Menk.

Tanpa memberikan sebarang contoh, Najib mengingatkan bahawa tuduhan liar atau menyebarkan fitnah adalah perbuatan yang merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan.

“Saya percaya bahawa menjaga tutur kata bukanlah satu perkara yang asing buat kita, sebagai orang Islam atau sebagai orang Malaysia.
“Sejak bangku sekolah lagi, kita telah diajar kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

”Kalau dalam Bahasa Inggeris, kata-kata If you have nothing good to say, say nothing sering digunakan sebagai peringatan atau pedoman,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, semua umat Islam juga perlu mengambil peluang untuk menghayati dan meningkatkan pengisian ibadah sama ada dari segi rohani atau pun dari segi akhlak.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.