lelaki Terkena Renjatan Elektrik di Sebuah Kolam Udang Maut

LUMUT – Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik di sebuah kolam udang di Teluk Senangin, Segari, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata pihak polis menerima laporan daripada beberapa pekerja kolam itu yang menemui mayat terbabit kira-kira pukul 8 pagi.

“Mangsa yang dipercayai pekerja di kolam udang itu ditemui dalam keadaan mengiring di tepi sungai berdekatan dengan kolam itu. Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui sebuah kabel elektrik yang dipasang pada pagar zink kolam tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd Zailan, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan unsur jenayah dan tiada sebarang kesan pergelutan ditemui di kawasan itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat renjatan elektrik dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Zailan berkata pihaknya berjaya menahan dua lelaki dipercayai penagih dadah dan merampas 2.71 gram methamphetamine dalam operasi bersepadu Pulau Pangkor semalam.

Beliau berkata dalam operasi bermula pada pukul 4 pagi itu, dua lelaki berumur lingkungan 30-an ditahan berasingan dan pemeriksaan pada bahagian badan mereka masing-masing menemui 1.7 gram dan 1.01 gram dadah itu.

“Mereka kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.

Mohd Zailan berkata dalam operasi itu juga, pihak polis menahan 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Thailand berumur antara 19 hingga 60 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua PATI kini direman selama 14 hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika berada di negara ini,” katanya.

Katanya, operasi yang berakhir kira-kira pukul 1 tengah hari itu turut disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.