Keluarga Minta Netizen Padam Gambar Allahyarham

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga seorang anggota polis yang ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala dalam kejadian di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan semalam, merayu orang ramai memadamkan gambar mangsa dalam laman sosial masing-masing.

Sehubungan itu, mereka menyifatkan gambar itu tidak wajar disiarkan untuk tatapan orang ramai kerana ia agak mengaibkan dan mengundang salah faham, selain menimbulkan pelbagai persepsi kurang baik terhadap arwah.

Adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Neo berkata, beliau terkejut bagaimana gambar abangnya, Inspektor Ahmad Al-Syamir Sharif Folidin boleh tular begitu cepat, walaupun jenazah masih dalam proses bedah siasat.

“Kami serahkan kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan kepada orang ramai di luar sana, saya merayu agar dipadamkan dari akaun Facebook masing-masing. Kita harus hormati si mati,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mangsa yang berjawatan Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPD Pasir Puteh ditemukan mati oleh anggota polis dalam pejabatnya.

Mangsa yang berusia 29 tahun berasal dari Selangor ni mula bertugas sebagai Pegawai Penyiasat sejak 1 Mac lalu dan baru setahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut, namun siasatan masih diteruskan.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan, polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan penyebaran gambar kematian mangsa.

Menurut kenyataan itu, satu kertas siasatan sudah dibuka dan polis sedang mengesan individu yang membuat rakaman gambar tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.