Fauziah Latiff Bukan Penyanyi Tangkap Muat

Lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru mungkin menyebabkan peminat tertanya-tanya mengenai perkembangan penyanyi kesayangan mereka, Fauziah Latiff.

Sebenarnya selepas sekian lama menyepikan diri, Fauziah tidak mahu tampil menghadiahkan peminat karya yang boleh dianggap sebagai ‘tangkap muat’.

“Kalau hendak keluarkan sesuatu single itu bila-bila masa pun boleh buat sebelum ini. Tapi sudah tentu saya inginkan karya terbaik buat peminat.

“Kalau hendak pastikan peminat suka dengan kerja kita, tanggungjawab itu memang berat. Bagi saya, biar rasa puas hati betul-betul, baru keluarkan sesuatu lagu,” katanya ketika ditemui di majlis rakaman Melodi Raya baru-baru ini.

Fauziah sebelum ini pernah dituduh tidak lagi boleh menyanyi tetapi menganggap tuduhan itu sebagai perkara biasa kerana sudah lama tidak mengeluarkan lagu terbaru.

Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 46, berkata dia kini sibuk dengan projek amal dan aktiviti kebajikan dianjurkan pelbagai badan bukan kerajaan.

Namun, menurut penyanyi Teratai Layu di Tasik Madu itu, kesibukan tidak bermakna perjalanan seninya telah berakhir.

Malah Fauziah atau lebih mesra disapa Gee tidak menolak kemungkinan untuk muncul dengan single terbaru yang dijangka diterbitkan selewat-lewatnya tahun ini.

Berkongsi mengenai rutin ibadah berpuasa, Fauziah berkata, lazimnya setiap tahun amalan itu dijalani secara bersederhana.

Menurutnya, selain menahan lapar dan dahaga, amalan berpuasa juga dapat memberi manfaat terhadap kesihatan dan tubuh badan seseorang.

“Dengan berpuasa, seseorang itu dapat mengawal pemakanan yang berlebihan. Contohnya ibu saya yang sudah berusia 70 tahun tetapi masih sihat kerana banyak makan ulam selain gemar berkebun untuk keluarkan peluh,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.