36 Mayat Ditemui Selepas Lelaki Bersenjata Serbu Kasino

MANILA – Sekurang-kurangnya 36 mayat ditemui di sebuah kasino di Manila, Filipina selepas seorang suspek lelaki menyerbu dan melepaskan tembakan malam tadi.

Menurut ANC news channel yang memetik sumber pasukan bomba, kebanyakan mangsa dipercayai mati akibat sesak nafas kerana asap tebal.

Polis sebelum ini mengatakan kejadian di pusat hiburan Resorts World Manila itu berkemungkinan bermotifkan rompakan dan bukan satu serangan oleh kumpulan pengganas.

Dalam kejadian itu, suspek yang bersenjata dan bertopeng melepaskan tembakan di sebuah pusat kasino dan hotel yang menyebabkan suasana panik dan orang ramai bertempiaran.

Suspek turut membakar meja di kasino terbabit.

Sementara itu Setiausaha Komunikasi Presiden Filipina, Martin Andanar ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan tidak kurang dari 30 mayat telah ditemukan namun masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian membabitkan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara Filipina, Ronald dela Rosa sebelum ini memaklumkan mayat suspek telah ditemui menjelang waktu subuh di dalam salah sebuah bilik hotel di pusat hiburan Resorts World Manila.

Suspek dikatakan merupakan seorang warga asing berketurunan Caucasian berketinggian 6 kaki dan berbahasa Inggeris. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.