Tragedi MH17: Russia Ubah Suai Gambar Satelit Guna Perisian Adobe

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Rusia dikatakan telah dengan sengaja mengubah bukti bergambar bagi menyalahkan pihak pemberontak Ukraine dalam insiden menembak jatuh pesawat penerbangan Malaysia, MH17 pada Julai tahun lalu.

 

Kenyataan dibuat dalam laporan kumpulan penganalisis bebas dalam talian, Bellingcat di laman sesawang mereka.

 

Kumpulan yang ditubuhkan bagi membuat analisa forensik ke atas sesuatu gambar yang diambil, memberi reaksi itu kepada gambar satelit yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu sidang akhbar pada 21 Julai tahun lalu.

 

“Analisa forensik yang dijalankan hasil siasatan oleh pasukan kami menunjukkan adalah jelas tarikh gambar satelit yang diambil adalah palsu dan gambar terbabit telah diubah menggunakan perisian Adobe Photoshop CS5,” laporan itu berkata.

 

Gambar Satelit - Isu MH17

Antara paparan gambar satelit yang didakwa Bellingcat, telah diubah oleh pihak Rusia – Foto Bellingcat.com

 

Laporan itu juga mendapati imej yang dipaparkan pihak Rusia kononnya, pelancar peluru Buk milik pemberontak Ukraine berada dalam jarak sasaran untuk menjatuhkan MH17, adalah gambar lama, diambil pada Jun 2014.

 

Imej kenderaan Buk meninggalkan kawasan terbabit juga dikatakan telah diubah bagi memberikan gambaran yang pemberontak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat, kata laporan itu lagi.

 

Seramai 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17, kebanyakkannya warga Belanda, maut selepas pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu di udara di kawasan yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak Ukraine.

 

Sebelum ini hasil siasatan awal oleh pasukan penyiasat Belanda mengatakan pesawat Boeing 777-200 itu meletup di udara selepas terkena objek ‘berkuasa tinggi’.

 

Laporan itu yang disediakan oleh Badan Keselamatan Belanda itu turut berkata tiada tanda-tanda pesawat terbabit menghadapi masalah teknikal, berada dalam keadaan kecemasan atau sesuatu yang dilakukan anak kapal.

 

Ini dibuktikan menerusi peti rakaman suara pesawat yang ditemui. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.