Sukan SEA: Harimau Malaya Longlai Dibelasah Vietnam

SINGAPURA – Malaysia bukan saja gagal memenuhi misi menumpaskan Vietnam dalam aksi kedua bola sepak Kumpulan B Sukan SEA 2015, malah perlawanan mereka bertukar mimpi ngeri selepas tumpas dengan jaringan besar 1-5 di Stadium Bishan, di sini sebentar tadi.

 

Kekalahan kepada Vietnam kini menyukarkan laluan Malaysia untuk mencari tiket ke separuh akhir apabila terpaksa menentang penyandang juara, Thailand, Khamis ini.

 

Skuad Bawah 23 tahun negara ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama selepas Mac Hong Quan membuka jaringan menerusi sepakan penalti seawal minit ke-14 ekoran kekasaran yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Amer Saidin terhadap Do Duy Manh.

 

Ketika saingan tinggal beberapa saat untuk ditamat, Vietnam menambah gol kedua menerusi Nguyen Cong Phuong.

 

Kebangkitan yang cuba dilakukan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee pada babak kedua terencat apabila Vietnam menjarakkan kedudukan 3-0 sebaik saja perlawanan bersambung, menerusi pemain sayap, Huy Toan Vo.

 

Belum sempat Malaysia hendak memperkemaskan permainan, Cong Phuong terus mengejutkan pemain negara dengan menambah gol keempat, kali ini menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.

 

Jaringan Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-78 memberi sedikit keceriaan buat pasukan negara, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Nguyen Van Tuan meledak gol kelima Vietnam, hanya seminit kemudian. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.