Lim Kit Siang Pemimpin Amatur, Keluar Kenyataan Tidak Masuk Akal

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Kit Siang telah merendahkan tarafnya seperti pemimpin politik amatur apabila mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal dalam usahanya menentang dasar Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, beberapa kenya­taan Kit Siang termasuk cadangannya supaya menubuhkan kerajaan campuran melibatkan pemimpin kerajaan dan pembangkang bagi menyelamatkan Malaysia turut menunjukkan pe­mimpin itu seorang yang gopoh serta tidak tahu bersabar.

 

Mustafa berkata, beliau turut hairan dan pelik dengan kenyataan pemimpin veteran itu yang tiba-tiba sahaja menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sedangkan selama ini DAP sangat lantang menentang bekas Perdana Menteri itu.

 

“Saya pun tidak berapa faham, dia buat kenyataan sanggup beker­jasama dengan Dr. Mahathir itu saya lebih hairan, sejak bertahun-tahun jarang sekali dia sebut perkara baik tentang Dr. Mahathir, sekarang mahu bekerjasama pula.

 

“Saya hormati Kit Siang sebagai pemimpin veteran, lebih senior daripada saya, tetapi tindakannya melalui kenyataan yang dibuat seperti seorang yang amatur dalam politik, macam orang baharu, beliau juga mahu menyelamatkan Malaysia seolah-olah hukum hudud membawa bencana kepada seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

 

Mustafa yang sebelum ini lebih banyak berdiam diri apabila ditanya berkenaan konflik kedua-dua parti mengulas mengenai pelbagai serangan da­ri­pada DAP terhadap Pas termasuk desakan meminta parti itu meninggalkan pakatan pembangkang.

 

Sebelum ini, DAP mengambil keputus­an untuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak bermaruah dan jujur berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

 

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, pengkhianatan Abdul Hadi bukan saja dalam isu hudud, malah dalam isu pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang menyebabkan krisis besar berlarutan sehingga hampir menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

 

Mengakui hubungan dengan sekutunya yang semakin renggang, beliau berkata, DAP tidak layak untuk menyerang atau mendesak PAS kerana parti itu adalah pelopor kepada pembentukan pakatan pembangkang pada tahun 1998.

 

Sebaliknya kata Mustafa, DAP boleh membuat keputusan sendiri untuk meninggalkan pakatan pembangkang jika tidak berpuas hati dengan dasar parti lain seperti yang pernah dilakukan parti itu pada tahun 2001.

 

“Pada tahun 2001, sebelum pilihan raya negeri Sarawak, DAP minta Pas ubah dasar perjuangan melaksanakan hudud tetapi ditolak, mereka kemudiannya tidak berpuas hati lalu keluar dan kita tidak boleh halang keputusan itu.

 

“Jadi, tidak ada satu parti yang boleh desak parti lain keluar, Pas tiada hak begitu juga DAP tetapi kalau mereka rasa tidak selesa, boleh keluar sebagaimana tahun 2001,” tegasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.