Polis Siasat Laporan Hina Sultan Di Laman Sosial

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat laporan berkaitan individu yang didakwa menghina institusi beraja dalam media sosial.

Ia turut membabitkan kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), ACP Datin Asmawati Ahmad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membantu siasatan.

“Perkara ini sedang dalam proses siasatan dan akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan susulan.

“PDRM memandang serius perkara sebegini dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum serta boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer turut dikaitkan dengan tuduhan menghina institusi beraja melalui laman sosial Facebooknya.

Bagaimanapun Rayer kemudiannya menafikan dakwaan itu dan mendakwa gambar dan namanya dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memfitnahnya.

“Saya diberitahu oleh Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) bahawa saya membuat satu kenyataan yang menyerang Sultan dan ia tersebar di Facebook.

“Posting ini menggunakan nama dan gambar saya. Saya tidak tahu apa-apa. Siapakah yang melakukan perkara seperti ini,” katanya.

Dalam posting itu, beliau didakwa memuatnaik kenyataan berbunyi ‘Sultan mati rakyat bazirkan ratusan ringgit untuk kebumikan Sultan Melayu. Orang Melayu memang celaka.’

Rayer turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.