Dua Sahabat Dituduh Suspek Rempuh Mati Anggota Polis Tertekan

GEORGE TOWN – Dua sahabat karib hidup tertekan apabila gambar mereka tersebar luas di laman sosial Facebook dan blog sebagai suspek dikehendaki polis berhubung kes merempuh mati seorang anggota polis dalam satu kejadian di Bagan Serai, Perak 26 Mei lalu.

Semuanya berlaku berikutan penyebaran butiran diri berserta gambar Mohd. Nizam Ali Hassan, 39, dan Azhar Ramli, 40, selepas sehari insiden itu berlaku sehingga nyawa kedua-dua mereka kini terancam dengan pelbagai ugutan jenayah.

Bukan setakat itu, kediaman mereka di Butterworth dan Nibong Tebal dekat sini juga didakwa kerap dikunjungi pihak tidak dikenali selain dipandang serong masyarakat setempat.

Mohd. Nizam mendakwa, sejak wajahnya tersiar di laman sosial, perniagaan barangan lusuh yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu terpaksa ditutup kerana bimbang keselamatan diri terancam.

“Setiap kali keluar dari rumah, banyak mata memandang dan bayangkan ahli keluarga termasuk anak-anak saya kini semakin ketakutan.

“Saya bimbang tentang keselamatan ahli keluarga, sedangkan saya tidak tahu angkara siapa yang menyiarkan gambar saya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Azhar turut berdepan nasib sama apabila dia juga terpaksa gulung tikar dalam perniagaan kain pasang di Parit Buntar, Perak yang beroperasi sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak mampu berdepan situasi sebegini yang membuatkan dirinya dan keluarga semakin dibelenggu tekanan.

“Anak-anak turut terkena tempias apabila mereka tidak mahu ke sekolah kerana tidak tahan dicaci oleh rakan-rakan disebabkan penyebaran gambar saya sebagai suspek dikehendaki polis.

“Kami akan bawa perkara ini ke mahkamah dengan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu,” jelasnya.

Berikutan kejadian tersebut, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Bagan Serai dan Parit Buntar baru-baru ini.

Pada 28 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Nayan menafikan pihaknya ada mengeluarkan gambar kedua-dua lelaki terbabit dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.