Yakub Khan letak jawatan MKT UMNO?

- Advertisement -

KOTA KINABALU, 2 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Yakub Khan, dilaporkan telah menghantar surat perletakan jawatan dua minggu lalu sebagai langkah melahirkan ketidakpuasan hati beliau terhadap cara Kuala Lumpur mengendalikan perbincangan kerjasama politik dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-17 (PRN Sabah ke-17).

Desas-desus ini tampak berasas apabila Yakub yang juga merupakan Ketua UMNO Sepanggar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai dikatakan tidak hadir dalam Mesyuarat MKT UMNO 30 April lalu.

Dikatakan surat perletakan jawatan sebagai Ahli MKT UMNO telah disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Bagaimanapun Presiden UMNO dikatakan menolak surat peletakan jawatan tersebut.

Menurut sumber yang mengenali Yakub, peletakan jawatan tersebut adalah manifestasi ketidakpuasan hati mengenai hala tuju UMNO berhadapan PRN Sabah ke-17 dan membantah usaha menekan UMNO Sabah untuk mengadakan kerjasama dengan GRS dengan apa kos sekali pun.

“Apa yang menjadikan mereka tidak berpuas hati ialah UMNO Sabah tidak dimaklumkan hasil perbincangan antara dua orang wakil parti dari Kuala Lumpur dengan Hajiji. Ini menyebabkan ketua-ketua UMNO Bahagian di Sabah tidak berpuas hati,” kata sumber lain di Kuala LUmpur.

Sumber tersebut mendakwa kepimpinan UMNO Sabah tidak berpuas hati dengan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajidi yang mengadakan perbincangan langsung dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tanpa memberi taklimat kepada UMNO negeri kemudiannya.

“Kekecewaan timbul kerana UMNO Sabah tidak dimaklumkan hasil perbincangan antara dua wakil pusat dengan Ketua Menteri Hajiji Noor. Ketua-ketua bahagian rasa diketepikan,”

UMNO sabah sejak beberapa bulan lalu menegaskan mereka akan bertanding antara 30-40 kerusi dalam PRN Sabah kali ini tanpa mengira siapa pun rakan strategik politik mereka. Bagaimana pun UMNO kelihatan sukar menerima GRS yang dikatakan telah ‘mencuri’ enam adun mereka bagi mengukuhkan kedudukan Hajiji.

Pada Februari lalu, SuaraTV melaporkan mengenai satu mesyuarat tertutup antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mesyuarat itu dipercayai membincangkan strategi politik menghadapi PRN akan datang, termasuk kemungkinan kerjasama besar antara Pakatan Harapan (PH), BN dan GRS. Pendedahan ini mengejutkan banyak pihak, terutama dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah sendiri yang mendakwa tidak dimaklumkan langsung.

Setakat ini UMNO Sabah hanya mengumumkan kesediaan mereka bekerjasama dengan PH, dan mereka berterusan menyerang GRS dalam kepincangan pentadbiran negeri.

Tidak dapat dipastikan sama ada tindakan Yakub berkaitan juga dengan laporan Presiden UMNO sedang mempertimbangkan rombakan drastik kepimpinan UMNO Sabah selepas Hari Raya Aidilfitri bagi berhadapan PRN.

Antara nama yang disebut bakal digantikan ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin — dengan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dikatakan bakal mengambil alih. Langkah ini dipercayai bertujuan melicinkan kerjasama strategik antara UMNO, GRS dan PH.

Sumber lain memberitahu SuaraTV bahawa satu perjumpaan telah diadakan antara kepimpinan tertinggi UMNO dengan pengurusan UMNO negeri Sabah sebelum mesyuarat MKT UMNO rabu lalu. Namun tiada sebarang keputusan konkrit yang dicapai atau diputuskan.

Seorang pemimpin UMNO Sabah yang dihubungi enggan mengulas sama ada berlaku atau tidak perjumpaan tersebut.

Sementara itu tindakan Yakub Khan perlu diberi perhatian serius oleh UMNO Pusat berikutan beliau merupakan seorang pemimpin kanan UMNO Sabah yang tetap setia walaupun ramai Ketua UMNO Bahagian di Sabah meninggalkan parti pasca PRU 2018.

Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Sabah dan berkhidmat sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dalam pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri 2020.

Dalam landskap politik Sabah, Yakub dilihat dari kem Bung Moktar dan mencerminkan pandangan majoriti Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Sabah.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat