KUALA LUMPUR, – Malaysia mencatat lonjakan ketara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 apabila naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 daripada 180 negara yang dinilai, menurut laporan terbaru Reporters Without Borders (RSF).
Peningkatan ini menandakan pemulihan selepas kejatuhan pada tahun 2024, di mana Malaysia berada di kedudukan ke-107 dengan skor 52.07. Pada tahun ini, Malaysia memperoleh skor 56.09, menempatkannya sebagai negara kedua tertinggi dalam kalangan negara ASEAN selepas Thailand (kedudukan ke-85).
RSF mengiktiraf beberapa kemajuan dalam landskap media negara, terutamanya dalam media digital yang menunjukkan autonomi editorial yang lebih baik. Bagaimanapun, Malaysia masih diklasifikasikan sebagai berada dalam “situasi bermasalah” berikutan tekanan politik terhadap media, dominasi saluran berita milik kerajaan, dan kewujudan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam laporan itu, RSF menyebut bahawa walaupun terdapat peningkatan, banyak cabaran masih perlu diatasi untuk mencapai kebebasan media yang sepenuhnya. Antara kebimbangan utama ialah campur tangan politik dalam liputan berita serta kawalan terhadap isu sensitif seperti kaum, agama, dan institusi diraja.
Sebagai respon terhadap laporan tersebut, kerajaan telah mengambil langkah proaktif termasuk meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia pada Februari lalu, yang bertujuan untuk menubuhkan badan pengawalseliaan bebas bagi industri media.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh kebebasan media melalui pendekatan yang lebih telus dan berprinsip.
Indeks Kebebasan Media Dunia diterbitkan setiap tahun oleh RSF bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei. Penilaian dibuat berdasarkan lima indikator utama: konteks politik, rangka undang-undang, konteks ekonomi, konteks sosiobudaya dan keselamatan.