Malaysia ada kuasa beli, bukan miskin sampai tak mampu beli topi China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kekayaan bukan hanya diukur daripada angka sebaliknya kepada kemampuan mengurus dan menikmati hidup dengan bijak.

Ketua Pemuda Umno Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain menempelak pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly yang mengundang kontroversi selepas mengkritik Malaysia sebagai negara miskin, manakala rakyatnya tidak cukup makan.

“O’Reilly menyatakan bahawa rakyat Malaysia miskin kerana pendapatan per kapita kita lebih rendah berbanding AS. Katanya, rakyat Malaysia tidak mampu membeli makanan bungkus atau topi.

“Namun beliau lupa satu perkara asas iaitu kuasa beli. Memang benar gaji minimum di Malaysia hanya sekitar RM1,700 sebulan. Namun, dengan jumlah itu, seseorang masih boleh menyewa bilik (sekitar RM500), makan di luar (nasi campur RM7), menggunakan pengangkutan awam (pas bulanan LRT RM50), dan mendapatkan rawatan di klinik kerajaan (serendah RM1).

“Bandingkan dengan New York City. Gaji minimum AS ialah USD7.25 sejam, tetapi sewa apartmen satu bilik boleh mencecah RM10,000 sebulan. Makan tengah hari biasa mencecah RM60, dan kos pengangkutan awam boleh melebihi RM600 sebulan. Itu belum termasuk insurans kesihatan yang mencecah ratusan dolar,” bidas beliau dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Abdul Aziz mengingatkan, inilah perbezaan antara pendapatan nominal dan Purchasing Power Parity (PPP).

“Pendapatan per kapita Malaysia secara nominal mungkin sekitar USD13,000, tetapi apabila diselaraskan mengikut PPP, nilainya menghampiri USD37,000.

“Ini bermakna rakyat Malaysia mampu membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan domestik berbanding yang disangka.

“Ramai rakyat Malaysia masih mampu melancong, memiliki telefon pintar, menikmati makanan luar dan minuman berjenama.

“Kita bukanlah masyarakat mewah, tetapi kita tahu menyesuaikan kehidupan dengan pendapatan yang ada,” katanya lagi.

O’Reilly sebelum ini memberi ‘pesanan’ kepada Presiden China Xi Jinping mengenai lawatannya ke Vietnam, Malaysia dan Kemboja.

“Hai Presiden Jinping, saya ingin memberitahu anda. Mereka tiada wang. Mereka tidak dapat membantu dan tidak akan membeli barang anda.

“Kami (rakyat AS) memiliki wang. Kami boleh membeli produk anda. Orang Melayu tidak akan membeli barang anda kerana mereka tidak mempunyai wang,” katanya di dalam video itu.

O’Reilly juga mendakwa bahawa pendapatan isi rumah perkapita Malaysia sangat rendah sekitar AS$5,731(RM25,130) setahun berbanding AS sebanyak AS$42,220(RM184,754) dalam klip video keduanya.

Menurut O’Reilly, pendapatan kecil itu menyukarkan rakyat Malaysia untuk membeli sekali pun topi kecil daripada China.

“Jadi, jika anda mahu membeli topi kecil sekali pun anda tidak mampu kerana anda mempunyai pendapatan cuma AS$5,731 setahun.

“Anda juga tidak makan,” kata O’Reilly dalam klip video terbarunya yang disiarkan di YouTube.

Dalam podcast tersebut, O’Reilly juga berkata bahawa bekas Presiden AS, Barack Obama dibesarkan di Malaysia.

Dua klip video itu muncul ketika ketegangan perdagangan Washington-Beijing semakin memuncak.

Rakaman itu mencatatkan lebih 148,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat