Continental tutup kilang sebab kuasa beli rakyat semakin berkurang, bukan salah Kerajaan Kedah – MP Pas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penutupan kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah bukan berpunca daripada kerajaan negeri, sebaliknya menunjukkan isyarat bahawa kuasa beli rakyat mungkin semakin berkurang.

Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin berkata, Continental tidak memindahkan kilangnya itu ke negeri atau negara lain, membuktikan bahawa ia bukan suatu masalah yang berpunca dari kerajaan negeri Kedah, namun ia bertindak menutupnya, sekali gus mengecilkan lagi pengeluarannya.

“Apa-apa isu berkaitan ekonomi harus dilihat secara mikro dan makro selain ia juga berkaitan antara satu faktor dengan faktor lain atau dipanggil ‘kesan berantai’,” kata Bakri dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Malaysiakini.

Bakri turut memetik maklumat daripada Exco Industri dan Pelaburan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah, yang memaklumkan bahawa 70 peratus tayar yang dihasilkan kilang berkenaan adalah untuk pasaran tempatan.

Katanya, penutupan kilang itu mungkin menjadi petunjuk awal atau “red flag” kepada penurunan kuasa beli rakyat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi (M40 dan T20), yang menjadi pembeli utama tayar premium jenama tersebut.

“Kita juga perlu melihat tentang kemungkinan ia adalah natijah daripada penghapusan subsidi diesel yang telah dilakukan dan juga petrol yang mungkin berlaku bila-bila masa dari sekarang terhadap golongan M40 dan T20 mengurangkan kuasa beli mereka kepada tayar-tayar jenama premium seperti ini.

“Jika benar penutupan itu disebabkan pengurangan dalam permintaan terhadap tayar Continental ia adalah meliputi seluruh Malaysia, kerana kilang di Alor Setar bukan hanya untuk pasaran Kedah sahaja,” katanya.

Isnin lalu, Continental mengumumkan bahawa ia akan menutup kilangnya di Alor Setar penghujung tahun ini.

Syarikat itu menyatakan kilang tersebut menggaji seramai 950 pekerja, dan keutamaan kini adalah untuk menyokong mereka melalui proses peralihan dengan menawarkan kaunseling kerjaya serta meneroka peluang pekerjaan dalam syarikat itu dan di luar syarikat.

Selepas pengumuman tersebut, sesetengah pengguna media sosial menyalahkan dasar dan pentadbiran kerajaan Pas di Kedah yang diterajui Menteri Besarnya Datuk Seri Sanusi Md Nor.

Sanusi bagaimanapun menegaskan keputusan Continental menutup kilang tayarnya tiada kaitan dengan kerajaan negeri mahupun disebabkan isu politik.

Sebaliknya, dia berkata ia dibuat atas dasar pertimbangan perniagaan.

“Saya harap mereka yang sebar fitnah ini insaf dan beringat akan balasan di akhirat. Fitnah ini menyesatkan orang ramai. Dalam dunia moden ini, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah, bukan dengan naratif palsu.

“Continental pun sudah beberapa kali jumpa saya sebelum ini. Penutupan ini adalah urusan perniagaan, bukan sebab mereka benci saya atau kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu Bakri menyatakan kebimbangan bahawa penutupan kilang Continental akan merebak kepada kilang-kilang lain disebabkan ketidaktentuan ekonomi.

“Kita juga harus bimbang jika penutupan ini juga akan berjangkit kepada kilang-kilang atau pun industri-industri yang lain lebih-lebih lagi dalam situasi dunia berdepan ketidaktentuan terhadap kemungkinan kesan ‘perang tarif’ oleh pentadbiran baru Amerika Syarikat.

“Malah, seperti yang kita maklum, pada 30 Jun tahun lepas satu lagi jenama tayar, Goodyear, juga telah menutup kilangnya di Shah Alam yang telah beroperasi lebih 52 tahun.

“Penutupan kilang seperti yang berlaku ini bukan satu pesta sorak-menyorak dan sindir-menyindir antara negeri-negeri pembangkang atau negeri-negeri parti pro Kerajaan Pusat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat