SAO PAULO – Mahkamah Agung Brazil membenarkan bekas Presiden negara itu, Fernando Collor de Mello, untuk menjalani hukuman penjara hampir sembilan tahun secara tahanan rumah selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram, memetik agensi berita Reuters.
Menurut perintah mahkamah semalam, keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, yang turut memerintahkan agar Collor memakai gelang kaki elektronik sepanjang tempoh tahanan.
Collor, yang pernah menjadi Presiden Brazil pertama dipilih melalui undian rakyat selepas tamatnya pemerintahan diktator tentera pada tahun 1985, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh bulan pada tahun 2023 atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.
Bekas presiden berusia 74 tahun itu ditahan pada 25 April lalu di bandar Maceio, timur laut Brazil, selepas Mahkamah Agung menolak rayuan terhadap sabitan terdahulu dan memerintahkan beliau memulakan hukuman penjara.
Menurut dokumen mahkamah, pendakwa raya Brazil mendakwa Collor menerima rasuah sekitar 30 juta reais (bersamaan kira-kira AS$5.28 juta) daripada sebuah anak syarikat bekas milik syarikat minyak negara Petrobras.
Collor memegang jawatan presiden pada tahun 1990 tetapi tidak sempat menamatkan penggal selepas Kongres memecatnya pada 1992 berikutan skandal rasuah berasingan. Bagaimanapun, Mahkamah Agung telah membebaskannya daripada tuduhan tersebut pada tahun 1994.
Beliau kemudian kembali ke arena politik sebagai Senator bagi negeri Alagoas dan berkhidmat sehingga awal 2023 selepas tewas dalam cubaan bertanding jawatan Gabenor negeri itu.