Wan Azizah Sibuk Di Permatang Pauh, Pandan Terbiar

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang masih tidak kelihatan batang hidung­nya di Parlimen Pandan sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu menimbulkan persoalan sama ada beliau serius mengambil berat kepentingan penduduk kawasan itu.

Berdasarkan beberapa perkongsian dalam akaun media sosial sejak semalam hingga petang kelmarin, beliau nampak sibuk berkempen di tempat lamanya, Permatang Pauh yang akan ditandingi anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pandan, Datuk Leong Kok Wee berkata, beliau tidak terkejut dengan perkembangan tersebut kerana lebih awal telah menghidu kehadiran Wan Azizah sebenarnya bukan dapat menyelesaikan masalah penduduk.
Katanya, sikap pemimpin gabungan pembangkang PKR yang gemar bertukar-tukar kawasan menyebabkan mereka tidak setia terhadap sesuatu tempat sekali gus mengambil mudah kepentingan serta perasaan pengundi.

“Mereka berjanji bulan dan bintang kepada pengundi, namun lima tahun kemudian mereka hilang dan berpindah ke tempat lain dan penduduk terus terabai. Ini tidak adil kepada pengundi,” katanya ketika dihubungi Utusan.

Susulan itu, mengikut akaun Facebook milik Pre­siden PKR itu, selepas Permatang Pauh, beliau seterusnya ke Kedah sedangkan hampir semua calon yang bertanding di kerusi Parlimen Pandan gigih bertemu penduduk.

Dalam pada itu, kempen di Pandan dilihat hanya dilaksanakan oleh beberapa penyokong PKR termasuk anak Wan Azizah sendiri.

Kok Wee bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut pendekatan Wan Azizah, namun baginya hal itu boleh mengecewakan penyokong-penyokong gabungan pembangkang PKR serta pengundi di Pandan.

“Mungkin perlunya ada undang-undang bahawa sesiapa yang bertanding tidak boleh menukar kawasan sesuka hati kerana memberi kesan kepada rakyat dan kesinambungan pembangunan di sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau melihat sikap gabungan pembangkang PKR itu akan membuatkan BN lebih bersema­ngat untuk membantu penduduk yang pastinya berharapkan seorang wakil rakyat yang lebih serius menyelami masalah rakyat.

“Saya lihat semua calon be­kerja keras. BN akan mendekati penduduk sebaik-baiknya supaya mereka dapat mendengari dan memahami sepenuhnya rancangan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya kemiskinan bandar,” katanya.

Difahamkan, Wan Azizah akan memulakan kempennya di Lembah Klang bermula hari ini.

Terdahulu, parlimen Pandan menyaksikan pertembungan lima penjuru yang turut ditandingi oleh Mohamed Sukri Omar (Pas), Jenice Lee Ying Ha (PRM) serta Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz (Bebas).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.