Nik Omar Gagal Tarik Orang Ramai

KOTA BHARU – Meskipun dipromosi besar-besaran dengan penularan poster menampilkan Nik Omar, anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ceramah PKR di Kadok, sini malam tadi gagal mendapat sambutan.

Bahkan, taktik mengumpan orang ramai dengan tayangan siaran langsung perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Pahang menerusi skrin besar tetap gagal apabila ceramah tersebut hanya dihadiri tidak sampai 100 orang.

Sehubungan itu, majlis tersebut yang sepatutnya bermula pukul 9.30 malam dilewatkan setengah jam kemudian sementara menanti ketibaan orang ramai namun jumlah kerusi kosong masih melebihi jumlah pendengar.

Turut serta berceramah dalam majlis itu ialah calon PKR Parlimen Ketereh, Dr. Radzi Jidin dan calon DUN Kadok, Che Ibrahim Mohammad.

Menerusi ceramah, tiada intipati menarik disampaikan Nik Omar kecuali manifesto PKR yang mencedok idea Barisan Nasional (BN) di negeri ini iaitu penubuhan Universiti al-Quran serta menyerang pimpinan Pas Kelantan yang didakwa mengamalkan budaya caci maki.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas berceramah, Nik Omar menempelak adiknya iaitu Nik Mohamad Abduh yang mendakwa dia belum pulang dan bertemu bonda mereka di Pulau Melaka, di sini.

“(Walaupun) kita negara demokrasi, kalau kita nak cari hujah biar nampak kukuh. Malam ini ambo balik, esok ambo ada pertemuan dengan pelajar dan guru sekolah (Madrasah Darul Anuar)… Pukul 8.30 pagi. Boleh jumpa di sana,” katanya, petik Utusan

Beliau juga sekali lagi secara berkias mengulangi teguran kepada adiknya iaitu Nik Mohamad Abduh supaya menghormati beliau sebagai abang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.