Militan IS Rakyat Malaysia Maut Serangan Dron Di Syria?

PETALING JAYA — Militan Daesh (IS atau ISIS), yang berasal dari Melaka, menjadi sasaran serangan dron baru-baru ini tetapi kematiannya masih belum pasti.

Kematian Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, ketua IS Asia Tenggara, di Ma’dan menjadi spekulasi apabila isterinya membayangkan hal itu di Facebook.

“Ada serangan ke atasnya menggunakan dron di Syria, dan kami sedang mengesahkan keadaannya,” kata pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Polis sedang menyiasat sama ada coretan “pemergian” suaminya oleh Nor Mahmudah Ahmad, 28, Sabtu lalu benar atau hanya helah Muhammad Wanndy.

“Jangan risau, kami ada cara untuk menyemak hal ini,” kata Mohamad Fuzi lagi.

Melalui Facebook, Rabu lalu, pengganas itu menceritakan kisahnya dan rakannya diserang ketika kenderaan mereka melalui kawasan yang dikuasai kumpulan musuh mereka, Parti Pekerja Kurdistan.

Muhammad Wanndy, dikenali juga sebagai Abu Hamzah Al-Fateh, merancang serangan di rantau ini, termasuk pusat hiburan di Puchong, Selangor tahun lalu.

Namun minggu lalu pemimpin atasan IS dilaporkan mula hilang keyakinan padanya susulan kegagalannya dalam operasi di Malaysia.

“Beliau gagal menyusun serangan di Malaysia seperti dirancang. Ia menyebabkan pemimpin IS Syria dan Iraq marah,” kata sumber perisikan kepada The Star.

Polis mengesahkan serangan di Movida, Puchong pada Jun lalu dirancang Muhammad Wanndy yang berada di negara konflik itu bersama keluarganya.

Pengganas IS sedang merancang serangan di Malaysia selewat-lewat hingga hujung tahun ini dan sedang merekrut militan baru, kata sumber itu lagi. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.