Enam Tindakan Lahir Pekerja Berkemahiran

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan enam tindakan bagi melahirkan pekerja berkemahiran sebagai penggerak ekonomi, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, tindakan pertama ialah mentransformasi mekanisme permintaan dan penawaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kelayakan TVET menjelang tahun 2020.

 

Beliau berkata, dalam hal ini, kerajaan sedang memperkukuh tadbir urus TVET dan memperkasa kualiti serta penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan dan meningkatkan penjenamaan untuk menarik minat terhadap TVET.

 

Katanya, tindakan kedua adalah meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada dengan terus menyediakan kemudahan pinjaman kepada pekerja yang berhasrat meningkatkan kemahiran sama ada melalui program peningkatan tahap kemahiran, latihan semula kelahiran atau latihan kemahiran baharu.

 

“Tindakan ketiga ialah menambah baik undang-undang perburuhan dan amalan perhubungan perusahaan.

 

“Keempat, menambah baik gaji dan produktiviti serta pengagihan pendapatan yang kini menyaksikan kadar gaji minimum baharu iaitu RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 sebulan di Sabah dan Sarawak serta Labuan.

 

“Langkah ini dijangka menyumbang kepada peningkatan gaji penengah bulanan daripada RM1,575 pada tahun 2014 kepada RM2,500 pada tahun 2020,” katanya.

 

Beliau berkata demikian berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

 

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Tan Sri Azman Shah Haron.

 

Sambutan dengan tema ‘Pekerja berkemahiran penggerak ekonomi’ itu dihadiri lebih 5,000 pekerja daripada pelbagai sektor dan bidang. Najib berkata, tindakan kelima ialah dengan memperkasa jaringan keselamatan sosial melalui pelaksanaan aplikasi mudah alih, i-Perkeso dan cadangan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

 

Katanya, i-Perkeso yang dibangunkan tanpa kos kepada rakyat itu membolehkan pekerja berhubung terus dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada bila-bila masa di mana saja.

 

“Kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan SIP bertujuan membantu golongan pekerja yang diberhentikan dengan menampung perbelanjaan mereka dalam tempoh mencari pekerjaan selepas diberhentikan.

 

“Tindakan terakhir adalah membudayakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pelancaran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.