Harga Rumah Projek Perumahan Generasi Baru FELDA Kini RM90,000 – PM

Kuala Lumpur – Harga rumah bagi Projek Perumahan Generasi Baru FELDA di seluruh negara diturunkan daripada RM125,000 kepada RM90,000 seunit bagi membolehkan generasi baru FELDA memiliki rumah idaman mereka.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman itu sebentar tadi melalui Facebook PMO Malaysia selepas menyelami keluh kesah generasi baru agar harga rumah terbabit dikaji semula.

 

Katanya, kerajaan juga akan menyediakan skim sewa beli bagi generasi baru yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan.

 

“Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat tentang pemilikan rumah mampu milik di tanah rancangan FELDA khususnya generasi baru.

 

“Komitmen kerajaan terhadap perkara ini telah dizahirkan dengan pembinaan 1,504 unit Perumahan Generasi Baru FELDA di Parlimen Rompin iaitu di Felda Selancar 4/5 sebanyak 480 unit, Felda Keratong 4 sebanyak 264 unit, Felda Selendang 2 sebanyak 360 unit dan Felda Keratong 7 sebanyak 400 unit pada harga RM 125,000 seunit jauh lebih rendah dari harga pasaran semasa.

 

“Menyelami keluh kesah generasi baru serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula, saya telah mengarahkan Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada, untuk menawarkan harga baru rumah-rumah itu pada harga RM90,000 untuk pembelian secara jual-beli,” kata Perdana Menteri mengenai Projek Perumahan Generasi Baru FELDA di Parlimen Rompin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.