SUHAKAM Berpuas Hati Dengan Semua Pihak

2 MEI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memuji pengendalian aman dalam himpunan bantah GST di sekitar jalan Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Hasmy Agam berkata ia satu tanda positif kebebasan dalam sistem demokrasi.

“Suruhanjaya melihat perkara ini sebagai satu hasil positif daripada kerjasama baik di kalangan penganjur perhimpunan, peserta dan pihak berkuasa,” katanya.

SUHAKAM turut memuji pihak polis dan penganjur atas hubungan kerjasama positif mereka menerusi satu siri dialog yang telah diadakan sebelum perhimpunan yang membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak dalam beberapa aspek utama yang berkaitan dengan perhimpunan.

Ia melibatkan penutupan Dataran Merdeka dalam usaha kerja menaik taraf.

Katanya SUHAKAM juga berpuas hati apabila tiada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) digunakan semasa perhimpunan tersebut dan jalan-jalan utama dan stesen pengangkutan awam juga tidak ditutup.

“Pihak polis, dengan bantuan marshal penganjur, telah berjaya mengawal lalulintas dan pergerakan orang ramai sepajang perhimpunan tersebut bagi memastikan peserta perhimpunan boleh bergerak dari semua lokasi tanpa banyak kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan selepas perhimpunan itu.

“Suruhanjaya juga berbesar hati dengan pembaharuan positif dalam profesionalisme pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam mengendalikan perhimpunan awam seperti yang ditunjukkan menerusi KL112 dan perhimpunan anti-kenaikan harga serta perhimpunan semalam,” katanya.

SUHAKAM juga memuji sikap penganjur dan peserta atas hubungan kerjasama positif mereka dengan pihak berkuasa.

“Suruhanjaya mengalu-alukan kerjasama berterusan, persefahaman dan rasa hormat dalam perhimpunan aman masa depan ke arah memastikan hak asasi rakyat untuk kebebasan berhimpun dapat dipelihara sepenuhnya pada setiap masa,” tambahnya. – bnbbc.my

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!