Protes Besar-Besaran Dalam Penjara

Mesir -Sehari selepas hampir 700 orang yang dikatakan penyokong Ikhwan Muslimin dijatuhi hukuman mati, ribuan tahanan di Mesir enggan menghadiri perbicaraan dan mengadakan mogok lapar besar-besaran.

Bantahan itu dibuat ekoran keadaan penjara dan dakwaan ketidakadilan yang berlaku, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Al Jazeera melaporkan, ia dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak tahanan di 90 penjara dan pusat tahanan yang membantah perbicaraan besar-besaran dan keadaan penjara yang didakwa teruk.

“Kami sudah mulakan mogok lapar sekarang. Kami juga putuskan tidak keluar untuk bersenam. Kami tidak akan hadir sebarang sesi di mahkamah atau berdepan mana-mana pendakwa,” kata seorang tahanan Wadi al Natrun keapda Al Jazeera pada Khamis.

Panel kumpulan hak asasi berkata, pasukan keselamatan pada pagi Rabu memasuki penjara di Fayoum, 100km dari selatan Kaherah, untuk memaksa tahanan hadir ke mahkamah.

Beberapa tahanan dilapor cedera.

Laporan Pusat Antarabangsa untuk Perundingan dan Hak Asasi Manusia Arab-Afrika melaporkan, 20,000 tahanan terlibat dalam protes itu.

Mereka berikrar meneruskan mogok sehingga tuntutan mereka dipenuhi. Fasa kedua protes akan dilancar esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.