Pegawai Bomba Nyaris Maut Di Patuk Tedung

Sungai Buloh – “Seluruh badan kebas dan hampir rebah sebaik ibu jari tangan saya dipatuk ular tedung,” kata pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Yusafri Mohd Yusof, 29.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, mangsa dipatuk reptilia berbisa itu ketika sedang bertugas menangkap haiwan itu di Bukit Darah di sini.

Menurutnya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk yang mendakwa seekor ular tedung cuba menceroboh masuk rumahnya.

ular tedung 2

“Saya bersama rakan setugas kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular itu. Saya cuba membuka ikatan tali, namun ular itu secara tiba-tiba terus mematuk bahagian ibu jari tangan kiri saya. Bagaimanapun saya sempat memindahkan ular itu ke dalam karung guni,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sungai Buluh semalam.

Menurutnya, kesan bisa ular itu menyebabkan dia berasa hampir hitam dan nyaris rebah.

“Namun, saya kuatkan semangat sementara mendapatkan bantuan perubatan walaupun tubuh ketika itu kebas sepenuhnya.

“Saya segera dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan menaiki jentera bomba. Sebaik tiba di hospital, doktor segera memberikan suntikan vaksin sebelum saya dimasukkan ke wad hospital,” katanya yang kini mula stabil.

Yusafri mendakwa kali pertama dipatuk ular sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat.

“Bagaimanapun kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat untuk masyarakat,” katanya yang dijangka keluar dari hospital beberapa hari lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.