Curi Motorsikal, Remaja Sekolah Dicekup Polis

Kuala Pilah – Tiga pelajar sekolah dicekup selepas terlibat dalam kegiatan curi motosikal di dua lokasi berasingan di sini, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kesemua suspek berusia 14, 16 dan 17 tahun dari dua sekolah berasingan telah mencuri dua motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah Modenas Kriss bagi kegunaan sendiri dengan memasang nombor pendaftaran palsu.

Azmi berkata, menurut laporan diterima, kes kecurian berlaku di tempat letak motosikal di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada 13 Mac dan 24 Mac, manakala di Masjid Kariah Tuanku Muda Chik Ampang Tinggi, sekitar 5 hingga 6 petang, 6 Mac lalu.

“Kita berjaya menahan seorang suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di sebuah pusat beli belah, di sini dan hasil soal siasat mendapati, motosikal Honda EX5 itu adalah motosikal curi. Suspek turut disaman kerana tidak memiliki lesen motosikal serta cukai jalan.

“Kita juga berjaya memberkas dua lagi suspek di Taman permainan Taman Impian Utama dan di rumah suspek pada 23 April, sebelum mereka menunjukkan lokasi penyembunyian barang curi dalam semak di Kampung Ampang Tinggi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) dan Seksyen 411, kerana mencuri kenderaan dan menyimpan harta curi.

Sementara itu dalam kes berasingan, Azmi berkata, pihaknya juga berjaya merampas beberapa komponen elektronik mencurigakan dalam Ops Cantas Khas yang diadakan di hadapan Balai Polis Terachi, kira-kira jam 12 tengah malam, Selasa lalu.

Menurut Azmi, dalam operasi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Pilah berjaya menemui beberapa komponen elektronik yang meragukan di dalam tempat penyimpanan barang setelah memeriksa sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki berusia 28 dan 24 tahun.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk disoal siasat dan komponen itu dipercayai sebahagian daripada peralatan untuk kegunaan mesin judi dan akan dibawa ke satu lokasi yang lain.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat dari mana komponen elektronik ini diperoleh.

“Kita tidak mahu kegiatan judi berleluasa dan sebelum ia berleluasa, sebaiknya kita membanteras sehabisnya,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya akan turut menyiasat dan mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan mesin judi dan kemungkinan juga terdapat permintaan tinggi dari orang ramai mendorong kepada kewujudan pusat judi berkomputer. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.