Beberapa Lagi Individu Akan Ditahan

KUBANG PASU 1 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan beberapa lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan militan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, maklumat berkaitan mereka sedang dikumpul dan polis akan memaklumkan me­ngenai perkara itu selepas operasi penangkapan dijalankan.

“Masih ada lagi suspek, bila dah tangkap nanti kita akan umum,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Dewan Wawasan, di sini hari ini.

Pada majlis itu juga beliau mewakili PDRM menerima anugerah majikan prihatin daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 28 April lalu, akhbar melaporkan satu kumpulan militan yang mirip dengan pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) serta berselindung di sebalik misi kemanusiaan terbongkar apabila polis menahan sembilan anggota kumpulan itu termasuk ketuanya dalam beberapa serbuan di Sela­ngor dan Kedah.

Kesemua suspek berusia 22 hingga 55 tahun itu dikatakan bersiap sedia untuk ‘berjihad’ di negara- negara bergolak.

Pada keesokannya, seorang lagi suspek yang merupakan seorang wanita ditahan menjadikan jumlah tangkapan setakat ini, seramai 10 orang.

Utusan Malaysia turut mendedahkan kegiatan seorang ‘ustaz’ dan bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada tahun 90-an, yang dipercayai kini berada di Syria untuk ‘berjihad’.

Sementara itu, sumber kese­lamatan memberitahu, bekas pemuzik terbabit sudah lama menjalani latihan dan teknik pe­perangan penggunaan senjata api di kawasan terpencil.

Katanya, bekas pemuzik itu dan anggota militan lain menjalani latihan secara rahsia di lokasi-lokasi tersembunyi bagi mengelakkan ia dikesan oleh pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati kawasan hutan di beberapa negeri menjadi pilihan untuk mereka menjalani latihan tersebut dalam usaha mempersiapkan diri bagi berjihad di luar negara,” kata sumber itu ketika dihubungi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.