SUBANG JAYA, 2 April – PETRONAS mengesahkan bahawa kandungan gas dalam saluran paip yang terbakar semalam kini telah kosong, menjadikan kawasan kejadian selamat sepenuhnya untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pemantauan PETRONAS dijalankan sejak jam 9 malam hingga 7 pagi hari ini mendapati tiada lagi gas dalam saluran yang terlibat dalam kebakaran.
“Petugas PETRONAS juga ke kawasan kejadian pagi ini dan sudah membuat pemantauan gas dalam saluran semalam dan kebakaran padam sepenuhnya jam 3.45 petang semalam.
“Apabila terpadam dan kita minta pihak PETRONAS membuat pemantauan kepada sama ada masih ada gas dalam saluran atau tidak.
“Dimaklumkan pemantauan pada jam 9 malam tadi hingga 7 pagi ini. kandungan gas dalam saluran adalah kosong,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Bermula jam 8 pagi, pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memasuki kawasan insiden untuk memulakan siasatan penuh terhadap punca kebakaran.
Menurut Wan Azlan, kebakaran itu telah menyebabkan kerosakan besar melibatkan 235 premis, dengan 87 premis terbakar sepenuhnya dan 148 premis lain turut terjejas.
“Untuk kenderaan terlibat, sebanyak 399 buah, manakala kenderaan terbakar 225 manakala 174 kenderaan terjejas,” katanya.
Setakat ini, 111 mangsa masih menerima rawatan di beberapa hospital utama termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya, dan Hospital Putrajaya.
“Bagi tahap kecederaan dialami mangsa, yang berada di zon merah 13 orang, zon kuning 55 orang, zon hijau seramai 43 orang.
“Seramai 75 orang (daripada 111 mangsa ini) mendapat rawatan dan berada di Hospital Serdang, Cyberjaya dan Putrajaya dan 36 lagi berada di lain-lain hospital termasuk Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan keselamatan di kawasan sekitar.