Video: Polis Trafik Melambung Dilanggar Ketika Kawal Lalu Lintas

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik dilanggar ketika sedang bertugas di persimpangan Jalan Sultan Hishammuddin di sini sekitar pukul 8.11 pagi Selasa.

Menerusi video kamera litar tertutup berdurasi 45 saat yang turut dikongsi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitternya, kelihatan anggota trafik tersebut sedang memberi laluan kepada kenderaan menuju terus ke Jalan Raja atau belok kanan ke Leboh Pasar.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba, sebuah kereta yang menghala ke Jalan Raja melanggar anggota trafik tersebut yang berdiri di tengah-tengah persimpangan itu untuk mengawal laluan trafik.

Seperti dapat menjangkakan akan dilanggar, anggota trafik itu dilihat tangkas berdiri semula selepas kejadian itu.

Menyedari kesalahan yang dilakukannya, pemandu kenderaan tersebut bertindak keluar dari kenderaannya dan menuju ke arah anggota trafik tersebut.

Dalam video berkenaan, pengguna jalan raya lain terutama penungggang motosikal dilihat memberhentikan kenderaan mereka dan menuju ke arah anggota tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya yang mengesahkan kejadian itu berkata, anggota trafik berkenaan mengalami kecederaan ringan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pemandu dibawa ke balai polis trafik untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kawasan kejadian merupakan persimpangan lampu isyarat jalan bandaran.

“Keadaan cuaca semasa kejadian adalah baik dan permukaan jalan kering,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun. – Awani

One thought on “Video: Polis Trafik Melambung Dilanggar Ketika Kawal Lalu Lintas

  • April 3, 2019 at 4:04 pm
    Permalink

    Jatuhkan hukuman seberat2nya langgar polis ..kalau ada hukuman tembak laksanakan lah..!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.