Salleh: Dr M Cipta Paradoks Sendiri

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak malam tadi mempersoalkan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad ingin membawa negara ini ke arah negara demokratik atau sebaliknya.

Menurutnya, bekas perdana menteri itu yang dahulunya bersikap autokratik dan percaya kepada ‘strong government’ untuk melindungi kedudukan orang Melayu, kini telah bersekongkol dengan DAP yang dimusuhinya selama ini.

“Dengan sikap politiknya yang paradoks ini, ke manakah sebenarnya Tun Mahathir mahu membawa Malaysia ini? Jika ke arah negara demokratik, apakah tidak demokratik lagi sikap politik DS Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) yang menghapuskan ISA dan meminda AUKU?

“Jika untuk mewujudkan bangsa Malaysia, apakah tidak lengkap lagi pemerintahan DS Najib yang bersifat inklusif, merakyat, dan menghargai kepelbagaian?

“Jika untuk menentang ketirisan dan kelemahan tadbir urus kerajaan BN, tidak ingatkah Tun Mahathir bahawa yang tiris sebenarnya ialah skandal BMF RM2.5 billion dan skandal forex RM30 bilion yang terjadi di zaman pemerintahannya? Inilah ironisnya politik Tun Mahathir ini iaitu beliau menciptakan paradoksnya sendiri,” katanya menerusi catatan terbaharu blog beliau.

Salleh yang juga Bendahari Umno berkata demikian sebagai mengulas video pendek berdurasi tiga minit 33 saat bertajuk ‘Pada Sesuatu Ketika’ yang tular sejak kelmarin.

Beliau yang mempersoalkan perubahan sikap Mahathir turut berkongsi pandangan pemerhati politik yang memberikan tiga sebab punca perubahan itu.

“Pertama, Tun mempunyai ‘superiority complex’, suatu sikap yang tidak boleh menerima kelebihan orang lain. Kedua, Tun kecewa dengan sikap barisan pemimpin tinggi Umno yang tidak menyokong anaknya untuk menang dalam pemilihan naib presiden.

“Ketiga, beliau tidak berpuas hati dengan beberapa polisi DS Najib yang dilihatnya cuba menghapuskan legasinya.

“Jika begitu alasan Mahathir untuk menentang Najib dan keluar dari parti Umno yang diketuainya selama 22 tahun, ke mana Tun Mahathir mahu membawa politik Malaysia ini? Kuatnya paradoks politik Tun,” kata Salleh. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.