Ikrar Perang, Hapus Pengganas

PESHAWAR – Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif melahirkan rasa sedih dan mengutuk serangan letupan bom kereta berhampiran pasar di Parachinar, sebuah kawasan majoriti Syiah yang mengorbankan 22 orang serta mencederakan 57 yang lain kelmarin.

“Ia merupakan tanggungjawab kami untuk meneruskan perang menentang pengganas,” katanya.

Malah, Nawaz mengulangi tekad kerajaannya untuk menghapuskan ancaman keganasan di seluruh negara tanpa kompromi.

“Rangkaian pengganas telah berpecah dan menjadi tanggungjawab negara untuk meneruskan peperangan ini sehingga penghapusan sepenuhnya musuh utama ini di tanah air kami,” tegasnya.

Beliau telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk melanjutkan segala bantuan yang mungkin kepada pentadbiran tempatan berhubung insiden tersebut.

Serangan kelmarin berlaku apabila sebuah kereta diletupkan di sebuah pasar yang dipenuhi orang awam. Ia didakwa dilakukan oleh kumpulan pengganas Taliban, Jamaat-ul-Ahrar (JuA) melalui mesej yang dihantar kepada agensi berita AFP.

Menteri Dalam Negeri, Chaudhry Nisar turut mengarahkan siasatan segera terhadap serangan itu.

Kebelakangan ini, Pakistan telah digegarkan dengan siri serangan pengganas yang mengorbankan banyak nyawa.

Gelombang serangan bunuh diri itu melanda Pakistan bulan lalu, termasuk satu di Lahore dan Lal Shahbaz Qalandar, sebuah makam suci puak Syiah di Sindh yang membunuh lebih 125 orang dan mencederakan 300 orang.

Tentera Pakistan telah bertindak keras dengan membunuh berpuluh-puluh pengganas dan me­nyerang lokasi persembu­nyian militan di sepanjang kawasan bersempadan Afghanistan.

Mereka turut melancarkan operasi ketenteraan di seluruh negara, Radd-ul-Fasaad bagi menghapuskan pengganas. – Agensi/kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.