Dialog Batal: Bersatu Turut Mohon mMaaf

SHAH ALAM – Bersatu hari ini turut memohon maaf terhadap pembatalan debat antara Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz yang sepatutnya berlangsung pada 7 April depan.

Dialog tersebut sepatutnya diadakan di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini, selepas rancangan debat sebelumnya, iaitu di Padang Rengas turut dibatalkan oleh pihak berkuasa.

“Dialog antara Mahathir dan Nazri telah diluluskan permit oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak kami telah bersedia.
“Namun, semalam penganjur, Sinar Harian menerima surat menyatakan permit telah ditarik balik. Maka, dialog ini telah dibatalkan. Kami turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama di dalam forum ini,” kata Bersatu dalam kenyataan, hari ini.

Dialog antara Mahathir dan Nazri yang dijadualkan 7 April ini dibatalkan susulan pembatalan permit kebenaran oleh pihak polis semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pembatalan itu dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat petang semalam.

Menurutnya, surat itu memaklumkan pembatalan permit yang dikeluarkan kepada Sinar Harian sebagai penganjur sebelum ini.

Dialog antara dua seteru politik itu sepatutnya diadakan di Padang Rengas, Perak, pada 25 Mac lalu. Padang Rengas adalah kawasan diwakili Nazri sejak pilihan raya kesembilan pada 1995.

Bagaimanapun, acara yang dikatakan bakal berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar itu tidak menjadi kenyataan apabila polis enggan membenarkannya.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, permohonan tersebut ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.