Bila FGV Gagal, Felda Pula Terbeban – ANAK

Sementara mengalu-alukan penyediaan dana pusingan RM100 juta oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) tetap menzahirkan kebimbangan dengan kedudukan kewangan syarikat perladangan tersebut.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, pihaknya sangat kecewa dengan sikap lepas tangan kerajaan kerana segala beban semasa yang terpaksa ditanggung oleh Felda adalah berpunca daripada kegagalan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Kenyataan (Pengerusi Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad bahawa penjualan aset dilakukan demi menyelesaikan masalah peneroka adalah gambaran jelas situasi kewangan yang parah sedang melanda Felda.

“Nampaknya, Felda tiada pilihan sehingga terpaksa menjual aset-asetnya. Jika seorang peniaga berbuat begitu, ia petanda menghampiri gulung tikar.

“Jika amalan ini berterusan, aset-aset Felda akan lenyap dan Felda tidak punya apa apa lagi sebagai sandaran. Ia amat menakutkan!

“Oleh itu, ANAK sangat kecewa dengan sikap lepas tangan kerajaan. Segala beban terpaksa di tanggung oleh Felda, walhal, segalanya berpunca dari kegagalan FGV,” katanya dalam kegagalan.

Mengenai dana pusingan RM100 juta bagi mengatasi masalah kelewatan pembayaran hasil peneroka yang mengusahakan kebun secara persendirian tetapi menjual buah tandan segar (BTS) di kilang Felda, iIa diharapkan dapat menyelesaikan kemelut yang berlanjutan berbulan lamanya, kata beliau.
“Ekoran lewat pembayaran lewat, akibatnya peneroka menghadapi berbagai kesukaran seperti kos upah, sewa lori, kos sara hidup dan tanggungan lain.

Namun, apa yang membimbangkan, berapa lamakah dana tersebut boleh bertahan kerana jumlah peneroka yang terlibat sekitar 10 ribu orang.

“ANAK ingin persoalkan tanggungjawab siapa sebenarnya yang membuat pembayaran ke atas peneroka berkenaan hingga dana pusingan terpaksa di sediakan,” tanya Mazlan lagi.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.