Ringgit Dijangka Cecah Paras 3.70 Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meneruskan momentum positifnya minggu depan, didagangkan antara 3.80 dan 3.90 berbanding dolar US, dirangsang oleh sentimen global.

 

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pada awal minggu, US mencatat data ekonomi yang lemah, menyebabkan Rizab Persekutuan menangguhkan hasratnya untuk menaikkan jadar faedah pada April.

 

Beliau berkata susulan data ekonomi yang lemah, dolar terus merosot ke paras sukuan terendah dalam tempoh enam setengah tahun, dan pelabur mengalihkan minat kepada mata wang lain, termasuk ringgit.

 

“Indeks dolar susut kepada 94.60 pada Jumaat,” katanya kepada Bernama, dan menambah jika penurunan itu berterusan, sudah pasti ringgit akan mencatat paras tertinggi baharu pada 3.70, yang direkodkan kali terakhir lapan bulan lepas.

 

Lebih banyak dana asing dilihat mengalir masuk ke dalam ekonomi Malaysia dan ini akan merangsang keyakinan dalam kalangan pelabur, katanya.

 

Sementara itu Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Ketua Penganalisis Pasaran FXTM Jameel Ahmad dilaporkan berkata bahawa nilai ringgit kini semakin meningkat, pulih daripada penurunan dan kerugian pada tahun lepas.

 

Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada aliran meningkat ringgit ialah kenaikan harga minyak yang kini melepasi US$35 setong.

 

Minyak dijangka didagangkan antara US$35 dan US$44 setong, mewujudkan keyakinan dan unjuran yang lebih positif kepada Malaysia, yang mengeksport minyak, katanya.

 

Faktor lain yang merangsang mata wang tempatan ialah peningkatan cukai, pengurangan perbelanjaan dan jualan aset tenaga oleh 1Malaysia Development Bhd serta pembayaran semula RM6 bilion (US$1.5 bilion) hutang pada minggu mendatang.

 

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit didagangkan tinggi sepanjang minggu, melepasi paras tertinggi 3.80 berbanding dolar US, apabila minat belian semakin meningkat.

 

Ia ditutup 3.8880/8950 pada Jumaat berbanding dolar daripada 4.0330/0410 pada minggu sebelumnya.

 

Unit tempatan juga tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.8826/8895 daripada 2.9408/9477 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.4603/4675 daripada 3.5697/5777.

 

Ia juga tinggi berbanding pound British kepada 5.5692/5815 daripada 5.6990/7124 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.4315/4411 daripada 4.5020/5118.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.