Linda Onn Kecewa, Putus Asa Dengan Pekerja Tempatan

KUALA LUMPUR – Penyampai popular Radio SuriaFM, Linda Onn kelmarin meluahkan rasa kecewa dan putus asa dengan sikap pekerja tempatan yang banyak merungut dan tidak kekal lama apabila bekerja di restoran My Mom’s Chicken Rice miliknya.

 

Melalui status yang dimuatnaik di Facebook, Linda mendedahkan keprihatinannya terhadap pekerja tempatan seperti langsung tak dihargai.

 

“Kecewa sungguh diriku hari ini. Yang tiada rumah ku ajak bekerja dan sediakan rumah. Yang tiada kerja dan tiada pendapatan tetap, kuberikan kerja dan gaji. Akhirnya, tak sampai berapa minggu atau bulan berhenti.

 

“Bila ditanya kenapa berhenti? Oh, sebab atok saya suruh berhenti. Oh, sebab rumah jauh. Sebab penat. Sebab taknak kerja restoran, kalau tak kerja pun takpe. Macam-macam sebab. Putus asa juga rasanya diri ku ini dgn mereka,” rungut Linda panjang lebar.

 

Kecewa dengan perkara itu, Linda meminta bantuan peminatnya berkongsi maklumat ejen dan agensi yang boleh membekalkan tenaga kerja asing.

 

“Kepada sesiapa yang tahu ejen yg menyediakan pekerja dari luar negara untuk bekerja di restoran, sila beri contact agensi itu ya. Terima kasih didahulukan,” ujarnya di akhir status tersebut.

 

Isu pekerja asing heboh sebelum ini apabila persatuan majikan memohon kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh bagi menampung kekurangan tenaga kerja di pelbagai sektor seperti perladangan, restoran, perkilangan dan beberapa sektor lain yang kurang digemari pekerja tempatan.

 

Ekoran bantahan umum termasuk dari parti politik yang menganggap pekerja asing telah mencuri peluang kerja rakyat tempatan, kerajaan kemudiannya memutuskan tiada lagi pengambilan baru 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh dan meminta majikan mengutamakan tenaga kerja tempatan untuk mengisi kekosongan.

 

Sementara itu tinjauan SuaraTV di ruangan komen di Facebook Linda Onn kebanyakan komen peminatnya mengakui sikap buruk sesetengah pekerja tempatan yang cerewet dan banyak merungut.

 

“Yes!!! saya setuju ngan kak linda.. orang kita cepat melatah. Konon pantang dicabar hak mereka tp sebenarnya ini lah senario sebenar. Keluarga saya dah lama berkecimpung dalam perniagaan restoran dan ini lah masalah yg paling besar.

 

“Bukan kami tak tawarkan (kerja) pada gelandangan (dan pekerja tempatan).. Kami sudah lakukan, tapi yang macam akak cakap itulah, 100001 alasan,” ulas Zuriiyaatii Ram.

 

Seorang lagi peminatnya, Yuslina Abdullah pula menulis komen yang agak keras sindirannya.

 

“Budak-budak sekarang pemalas. Nak kerja senang dan gaji besar kak. Tapi kalau dah bagi tempat tinggal segala, dah sangat bersyukur. Kenapa perlu dipersoalkan rumah jauhlah apalah, tak reti bersyukur dapat majikan baik hati & sangat ambil berat tentang pekerja,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.