Ahli, Penyokong PAN, PKR Dominasi Himpunan Anti GST

KUALA LUMPUR – Ahli dan penyokong Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR mendominasi Himpunan Anti GST yang diadakan di ibu kota hari ini.

 

Perhimpunan yang dianjurkan PAN dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) ini merekodkan kehadiran kira-kira 1,500 orang.

 

Portal Malaysiakini dalam laporannya menyebut jumlah kehadiran lebih seribu orang, sementara portal Free Malaysia Today pula menganggarkan kehadiran 3,000 orang peserta.

 

Tidak ramai penyokong DAP kelihatan di himpunan kali ini berbeza himpunan sebelumnya, manakala penyokong PAS dipercayai memboikotnya berikutan tiada kerahan dan arahan dari parti.

 

Kurang penyertaan penyokong DAP dan penyokong PAS menyebabkan himpunan agak hambar dari kebiasaan.

 

Bagaimanapun gelagat seorang peserta himpunan menyanyikan lagu ‘Jasmin Flower’ berjaya menarik perhatian ramai dan memeriahkan sedikit suasana himpunan.

 

Ketika ini peserta sedang mendengar ucapan pemimpin pembangkang di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka dalam suasana panas terik.

 

Antara pemimpin pembangkang yang hadir, Presiden PAN, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Tian Chua serta beberapa orang pemimpin PAN seperti Khalid Samad, Salahuddin Ayub dan Faiz Fazhil.

 

Sementara itu, kelibat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini dikatakan akan hadir sehingga kini tidak kelihatan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.