Video: Kad Tambah Nilai Prabayar Dikenakan GST

Kuala Lumpur – Syarikat telekomunikasi akan tetap mengenakan caj 6% Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kad tambah nilai prabayar berkuat kuasa serta-merta.

 

Bagaimanapun, pelanggan akan ditawarkan tambahan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar nilai melebihi cukai 6%.

 

Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam berkata, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan antara ketua eksekutif syarikat telekomunikasi, JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini.

 

“Persetujuan sementara itu berkuat kuasa hari ini dan akan berterusan selama tempoh tiga bulan sebelum perbincangan lanjut dilakukan sama ada ia akan diteruskan atau dikaji semula,” katanya pada sidang media di sini.

 

“Kita sebenarnya mempunyai dua pilihan, sama ada mengekalkan harga kad prabayar, contohnya RM10 (tanpa GST) atau mengenakan RM10.60 (cukai diserapkan dalam setiap kad sebelum pelaksanaan GST dan masa berbual melebihi 6% GST.

 

“Jadi, berita baik ialah pengguna akan mendapat tambahan kredit masa berbual yang akan diaktifkan dalam sistem, dengan kadar nilai melebihi RM1. Inilah merupakan permintaan pihak kami kepada syarikat telekomunikasi,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad, yang turut menyertai perbincangan itu, berkata caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran tertakluk kepada CBP.

 

Beliau berkata, kerajaan tidak mengambil caj perkhidmatan yang dikenakan oleh 2 premis itu.

 

“Ia wujud atas perjanjian kolektif antara pekerja dan majikan hotel dan restoran. Jadi, ini isu yang sebenarnya universal kerana caj perkhidmatan itu dipraktik sejak 1948 di seluruh dunia,” katanya.

 

Bagaimanapun, pihak kementerian akan mengkaji sekiranya perlu mewujudkan garis panduan untuk peniaga atau majikan untuk mengenakan caj perkhidmatan, katanya.

 

 

Terdahulu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata 40 peratus aduan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang diterima semalam mengenai pembelian kad tambah nilai prabayar telefon.

 

“Pada ketika saya menjawab soalan ini, pihak Kastam Diraja Malaysia telah memanggil syarikat telekomunikasi untuk memberi keterangan mengenai aduan yang diterima ini.

 

Jika mereka berdegil tidak mahu mengikut arahan, maka kita akan bawa kes ini ke mahkamah dan ianya akan jadi kes pertama sekiranya masih berdegil,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Sapawi Amat Wasali (BN-Sipitang).

 

Sapawi ingin mengetahui jumlah aduan yang diterima setelah CBP dilaksanakan semalam di seluruh negara memandangkan rata-rata rakyat negara ini memuat naik resit pembelian kad tambah nilai prabayar telefon yang dikenakan caj CBP di laman media sosial.

 

Ahmad menasihatkan pembeli menyimpan resit pembelian dan pergi semula ke mana-mana premis perniagaan bagi membuat tuntutan bayaran balik wang yang telah dibayar semasa membeli kad tambah nilai prabayar telefon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.