Shahidan Syor Umno Bincang Tertutup Dengan Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Susulan kenyataan terbaharu bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad di laman blognya hari ini, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan agar Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengadakan perjumpaan bersama mantan perdana menteri itu.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Dr Mahathir itu tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka kerana ia berkenaan parti Umno.

 

“Apa yang beliau kata mungkin ada betul, mungkin tidak. Tetapi sudah pasti, beliau berhati-hati masa menulis, dan tentulah beliau mempunyai kekuatan fakta.

 

“Nasihat saya, ini soal parti yang tidak boleh dibincang secara terbuka. Maka eloklah kita bincang secara tertutup.

 

“Maka saya syorkan supaya Ku Nan ambil daya usaha selesaikan polemik berpanjangan ini, dan bincang dengan cara adik beradik,” katanya merujuk gelaran yang diberi kepada Tengku Adnan.

 

Shahidan berkata, kasih sayangnya terhadap Dr Mahathir akan terus kekal walaupun perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu berdepan pelbagai teguran.

 

Dr Mahathir di laman blog chedet.cc hari ini menulis, sekiranya Umno masih lagi di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, Barisan Nasional (BN) akan tewas.

 

“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno dan dengan itu BN akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU 14.

 

“Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula,” tulisnya.

 

Katanya, ramai ahli dan kepimpinan parti Melayu itu kini dilihatnya setia secara membuta tuli.

 

“Ramai juga ahli dan pemimpin Umno yang setia secara buta tuli kepada pemimpin.

 

“Saya juga setia, tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini,” kata Dr Mahathir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.