PRK Permatang Pauh: Wan Azizah Bertanding Ganti Suami

Shah Alam – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebentar tadi berkata beliau mungkin akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.044 Permatang Pauh.

 

Katanya, parti itu akan bermesyuarat bagi membincangkan mengenai pilihan raya kecil (PRK) tersebut sebelum membuat sebarang keputusan untuk meletakkan calon di Permatang Pauh.

 

“Parti akan memutuskan (calon). Kami akan ada beberapa mesyuarat. Dan sekiranya saya terpaksa menjadi calon bidan terjun, saya rasa saya perlu bertanding sekali lagi,” katanya semasa ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam pagi ini.

 

Mengambil kira pengalamannya dan faktor suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah yakin mampu memberi khidmat dan menggalas tanggungjawab sekiranya dipilih untuk bertanding.

 

“Saya mengenali mereka dan sudah berada lama di sana. Malah, saya pernah mengundur diri selepas Anwar keluar.

 

“Saya rasa selesa dan mereka (pengundi) mengenali saya. Saya harap dapat memberikan khidmat yang diharapkan mereka,” katanya.

 

Mengenai persediaan menghadapi PRK itu, Wan Azizah berkata mereka sudah bersedia sejak awal ketika mendapat keputusan Anwar akan kekal meringkuk dalam penjara.

 

“Kami sebenarnya sudah mengetahui perkara sebegini akan berlaku, jadi kami sudah bersedia sejak awal.

 

“Di akar umbi, Anwar ialah ahli Parlimen Permatang Pauh, penyokongnya sudah bekerja dan kami bersiap-sedia, bila-bila masa pilihan raya diadakan.

 

“Namun, kerja akar umbi perlu diteruskan,” katanya.

 

Tentang keputusan lembaga pengampunan menolak petisyen untuk Anwar yang dibuat keluarganya, Dr Wan Azizah berkata, mereka akan melihat cara lain dalam usaha mencari jalan membebaskan Anwar.

 

“Kami akan teliti pilihan lain.”

 

Semalam, Speaker Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong, susulan Lembaga Pengampunan dikatakan melupuskan petisyen yang dibuat keluarga ketua pembangkang tersebut.

 

Pengumuman tersebut dijangka memberi laluan kepada PRK Permatang Pauh.

 

Dr Wan Azizah menyertai pilihan raya pertama bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1999, di mana beliau menewaskan Datuk Seri Ibrahim Saad dengan majoriti 9,077 undi.

 

Beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada 2004 dan 2008.

 

Namun, Dr Wan Azizah meletak jawatan pada Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar.

 

Anwar ketika ini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan bersalah pada Februari dalam kes liwat yang berlaku 7 tahun lepas.

 

Sementara itu peguam Anwar mendakwa Speaker Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan kesalahan besar mengumumkan kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong, susulan Lembaga Pengampunan dikatakan melupuskan petisyen yang dibuat keluarga ketua pembangkang itu.

 

Latheefa Koya berkata, tiada keputusan sah dibuat mengenai perkara itu atau disampaikan kepada pemohon petisyen itu seperti ditetapkan dalam Perkara 42, yang dibaca bersama dengan Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan.

 

“Pengumuman Speaker melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah pra-matang. Kerusi Permatang Pauh tidak kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Katanya, hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak membuat keputusan mengenai petisyen bagi pengampunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

 

“Tiada keputusan mengenai penolakan petisyen itu disampaikan kepada Anwar atau keluarganya, yang sebenarnya membuat permohonan pengampunan dari Agong atau istana.

 

“Pengumuman Speaker itu sendiri hanya berdasarkan komunikasi yang dibuat lembaga pengampunan, bukan Agong atau istana,” kata Latheefa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.