PM Lancar Skim Penjaja Dan Peniaga Cina

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Skim Mikro Kredit Penjaja dan Peniaga Cina, melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu golongan tersebut memajukan perniagaan dan memudahkan mendapatkan pinjaman kewangan.

 

Perdana Menteri berkata, di bawah skim itu, setiap pemohon boleh meminjam antara RM5,000 hingga RM15,000, bergantung kepada syarat dan kelulusan yang ditetapkan.

 

“Pembangunan (negara) mestilah bersifat inklusif dan adil, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

 

“Sebab itulah, hari ini kita lancarkan skim mikro kredit ini, sebab bagi kerajaan, golongan ini perlu dibantu.

 

“Tidak kira etnik mana pun, peniaga dan penjaja kecil mesti dibantu kerana mereka banyak memainkan peranan (kepada negara),” katanya ketika berucap sebelum melancarkan skim tersebut di Jalan Alor di sini hari ini.

 

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, timbalannya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cina, Datuk Lee Teong Chwee dan Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Jalan Alor Beh Kok Khiang.

 

Perdana Menteri menjelaskan, pinjaman di bawah skim itu akan diuruskan oleh Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia yang dilihat mampu membantu memudahkan pinjaman kepada kira-kira 130,000 peniaga dan penjaja kecil Cina seluruh negara.

 

“Kita tubuh yayasan itu kerana akan ada trustees (pemegang amanah) yang boleh berkomunikasi dengan peniaga dan penjaja kecil melalui skim itu.

 

“Mereka faham gaya dan cara hidup peniaga yang sukar mendapatkan pinjaman bank kerana masalah seperti tiada slip gaji bulanan dan penjamin.

 

“Malah melalui skim dan yayasan ini, peniaga juga boleh mengurangkan risiko terdedah dengan pinjaman AhLong yang akhirnya menyusahkan dan menambah masalah mereka,” tambah Najib.

 

Menurut Najib, bayaran balik dari peminjam kelak boleh digunakan sebagai modal pusingan bagi membantu peniaga lain sekaligus membuka peluang yang sama rata dan lebih besar untuk menambah pendapatan.

 

“Saya berharap peniaga dan penjaja kecil akan merebut peluang yang diberikan untuk menambahbaik perniagaan dan mendapat hasil pendapatan yang sewajarnya,” katanya.

Selesai pelancaran, Najib kemudian meluangkan masa melawat gerai peniaga dan penjaja kecil di kawasan tersebut selain beramah mesra dengan orang ramai sebelum beredar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.