Perak Guna Drone Pantau Kecurian Pasir

IPOH – Kerajaan Negeri Perak bercadang menggunakan aplikasi sistem pesawat tanpa juruterbang atau dikenali sebagai ‘drone’ bagi memantau kegiatan mencuri pasir di seluruh negeri ini.

 

Beberapa daerah di Perak sudah memperkenalkan sistem itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin (BN-Manjoi) mengenai penggunaan sistem pengemudian GPS untuk lori pemegang permit bagi menangani kecurian pasir pada persidangan Dun hari ini.

 

Zambry berkata, GPS telah digunakan bagi memantau kecurian pasir, namun kerajaan negeri mahukan sistem yang lebih terkini untuk menangani masalah itu.

 

Semasa menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) mengenai tiada pendakwaan terhadap pencuri pasir, Zambry berkata, beliau telah mengarahkan supaya aspek mengumpul barang bukti dipertingkat bagi membolehkan pendakwaan dilakukan.

 

“Saya setuju kes (curi pasir) didakwa di mahkamah. Setakat kompaun, ia tidak memberikan apa-apa kepada mereka…bagi satu kes, jumlah kompaun sekitar RM5,000,” katanya.

 

Mengenai anggaran kerugian hasil kerajaan negeri akibat kegiatan curi pasir haram dan batu mineral di seluruh negeri, Zambry berkata, kerugian adalah antara RM10 juta hingga RM20 juta setahun dan aktiviti itu dipercayai didalangi kumpulan kongsi gelap.

 

Menurutnya, beberapa langkah telah diambil untuk mencegah kegiatan curi pasir secara haram di seluruh Perak termasuk menubuhkan tiga jawatankuasa penguatkuasaan di peringkat negeri.

 

Ini termasuk jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipengerusikan Zambry dan jawatankuasa pasukan petugas yang dipengerusikan pengarah tanah dan galian negeri.

 

“Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi memastikan program penguatkuasaan pemantuan pengeluaran pasir, bahan mineral dapat dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan selain merangka program yang mampu mengurangkan ketirisan hasil,” kata Zambry.

 

Kerajaan negeri turut menempatkan anggota penguatkuasa di kawasan yang disyaki melanggar syarat-syarat permit bahan batu dan lesen pemindahan bahan mineral. – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.