Nahas Germanwings: Pembantu Juruterbang Alami Kemurungan Teruk

BERLIN – Pembantu juruterbang, Andreas Lubitz yang dipercayai sengaja menjunamkan pesawat Germanwings ke Banjaran Alps minggu lalu, dilapor pernah memaklumkan kepada majikannya bahawa dia mengalami episod kemurungan yang teruk sebelum ini.

 

Lufthansa yang memiliki Germanwings berkata, Lubitz, 28, pernah memaklumkan kepada syarikat itu tentang gangguan dialaminya pada 2009 selepas beberapa sesi latihannya terjejas akibat keadaan tersebut.

 

Syarikat penerbangan itu memaklumkan, latihan Lubitz pernah terjejas untuk beberapa bulan enam tahun lalu, namun Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Carsten Spohr tidak menyediakan penjelasan mengapa dia berbuat demikian.

 

Presiden Perancis, Francois Hollande sementara itu dalam lawatan sehari ke Berlin berkata, usaha mengenal pasti 150 mayat yang menaiki pesawat Germanwings 4U9525 akan mengakibatkan keluarga penumpang bersedih.

 

“Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve mengesahkan bahawa menjelang hujung minggu ini, pasukan penyiasat akan dapat mengenal pasti kesemua mangsa berikutan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang berjaya diambil dan usaha saintifik luar biasa yang dilakukan pasukan petugas,’’ katanya.

 

Hollande bercakap pada sidang media yang turut dihadiri Canselor Jerman, Angela Merkel ekoran satu mesyuarat bersama dua Kabinet dari ke­dua-dua negara tersebut.

 

Sementara itu, pasukan mencari menjelaskan, sudah tiada lagi cebisan mayat di lokasi nahas.

 

“Esok, 20 pendaki tentera akan ke sana bersama pasukan untuk mendapatkan barang-barang peribadi mangsa,’’ kata jurucakap pasukan mencari, Leftenan Kolonel Jean-Marc Menechini. – AFP/UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.