Pelanggan Restoran Mamak Mengamuk Akibat GST

Kuala Lumpur – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) hari ini tidak menafikan bahawa pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang berkuat-kuasa semalam memberi impak kepada pengusaha industri makanan dan minuman termasuk restoran ‘mamak’.

 

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, akibat maklum balas segelintir masyarakat yang masih belum memahami pelaksanaan cukai tersebut, pihaknya menerima banyak aduan melibatkan tidak puas hati pelanggan sehingga ada yang mengamuk.

 

Jelasnya, insiden tersebut berlaku di Sungai Buloh pada pagi ini membabitkan seorang pelanggan memaki hamun pemilik restoran gara-gara tidak mahu membayar caj GST yang dikenakan ke atas makanannya di restoran ‘mamak’ itu.

 

Akibatnya, pemilik restoran tersebut terpaksa menghubunginya kerana tidak mampu untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

 

“Jadi, saya cadangkan kepada pemilik restoran itu, supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sahaja.

 

“Ini adalah antara contoh kesan pelaksanaan GST yang menyebabkan mereka (pemilik restoran) menjadi mangsa untuk pelanggan melepaskan kemarahan dan cemuhan,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

 

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan GST, beliau menyatakan sebagai pengusaha dan pemilik kedai makan, mereka hanya mengikut arahan kerajaan dan tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan kadar caj yang tinggi kepada pelanggan.

 

Bagaimanapun, beliau mengakui masih timbul kekeliruan antara pengguna dan juga peniaga serta pihak pelaksana iaitu kerajaan.

 

“Jadi, saya minta supaya kerajaan perlulah bertimbang rasa dan janganlah menggunakan platform media untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka adalah ‘hero’ dalam menyelesaikan aduan dan masalah pengguna.

 

“Apa yang perlu ditekankan pada peringkat awal adalah kerajaan perlu melatih pegawai-pegawai dan mengenalpasti apa masalah utama disebalik pelaksanaan cukai tersebut,” ujarnya.

 

Ditanya mengenai kebimbangan terhadap sambutan pelanggan, beliau menyatakan sebagai pengusaha dan pemilik restoran mengakui pelaksanaan GST secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah pelanggan.

 

Namun, apa yang perlu pengguna faham adalah GST merupakan satu penstrukturan semula sistem cukai bagi menggantikan cukai sedia ada dan bukannya sengaja dikenakan pemilik restoran atau mana-mana agensi lain.

 

“Secara peribadi, ia (GST) penting tetapi saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kadar peratusan GST daripada 6 peratus kepada 3 peratus untuk mengelakkan rakyat berasa terbeban,” katanya yang mengakui teh tarik dan roti canai juga dikenakan GST di restoran mamak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.