Kalau Tak Selesa DAP Boleh Keluar, Kata Pemimpin PAS

KOTA BHARU – Pas mampu berjuang bersendirian sekiranya parti itu mengambil pendirian untuk keluar dari PR.

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Pas pernah mengalami zaman sukar ketika keluar dari BN, namun bangkit memenangi pilihan raya pada 1990.

 

“Itu pengalaman kita, kita pernah bersendirian, kalau parti komponen berkeras untuk berpecah, kita tak ada pilihan, tapi kita sudah ada pengalaman berbanding orang lain, (menang di Kelantan bersendirian), kita sudah ada rekod itu, bukan ingin berbangga,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di sini, semalam.

 

Mengulas desakan supaya Pas keluar PR, Mohd Amar berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan PR dan tidak ada alasan untuk keluar daripada pakatan tersebut.

 

“Kalau DAP tak selesa dengan kita, dia (DAP) yang kena keluar, kita tak ada masalah dalam PR, kenapa kita perlu keluar, yang ada masalah DAP,” katanya.

 

Mohd Amar mengakui semua parti dalam PR termasuk PKR dan DAP akan menerima kesan sekiranya berlaku perpecahan.

 

Beliau berkata, perkara itu juga berlaku di negeri PR yang akan menerima nasib sama sekiranya krisis berlaku tidak diselesaikan dengan baik.

 

“Kita (PR) perlu satu sama lain, DAP jangan ingat mereka menang di Pulau Pinang kerana kekuatan mereka sahaja, ada sumbangan daripada rakan komponen lain, jangan ingat Pas sahaja rugi jika berlaku perpecahan.

 

“Kalau tidak setuju hudud, tak apa, itu hak mereka (DAP), tapi jangan terlalu bersungguh menentang sehingga menimbulkan keresahan pengundi Melayu,” katanya.

 

Beliau berkata, walaupun banyak perkara boleh menjadi punca pergaduhan, tetapi Pas lebih bertolak ansur dan menghormati satu sama lain.

 

“Perlu diingat, Pas pernah beri laluan DAP guna lambang parti itu ketika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia ingin mengharamkan DAP dan tidak benar DAP bertanding suatu ketika dahulu,” katanya.

 

Mengulas tindakan PKR Sabah dan DAP Sabah memutuskan hubungan politik dengan Pas negeri itu sehingga menyebabkan PR di negeri itu terbubar automatik, Mohd Amar berkata, apa yang berlaku agak songsang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.