Dana Bumiputera Al-Ansar Berjumlah RM200 Juta Dilancar

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Dana Bumiputera Al-Ansar Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM200 juta, bagi memperkasa dan meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera muslim di negara ini.

 

Perdana Menteri berkata pelaksanaan dana di bawah akaun pelaburan terhad serta patuh syariah yang pertama di Malaysia itu diharap memangkin pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

 

Beliau berkata dana berkenaan akan membantu usahawan dari segi modal kerja, pembiayaan kontrak dan perbelanjaan modal.

 

“Saya yakin bahawa usaha TH ini akan dapat bukan sahaja melahirkan lebih ramai usahawan tetapi juga membawa mereka yang sudah terlibat dalam bidang perniagaan akan dapat pergi ke tahap yang lebih tinggi.

 

“Mudah-mudahan mereka bukan tergolong dalam kumpulan ‘micro enterprise’ tetapi menjadi PKS dan seterusnya menjadi syarikat yang lebih besar serta disenarai di bursa dan bersaing di persada antarabangsa,” katanya ketika berucap melancarkan dana berkenaan di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengerusi Bank Islam Malaysia Berhad Datuk Zamani Abdul Ghani.

 

Najib berkata pembiayaan bagi dana tersebut diberikan keutamaan kepada 11 sektor termasuk makanan halal; minyak dan gas; pendidikan; kesihatan; pertanian; pembinaan serta borong dan runcit.

 

Beliau berkata dana tersebut menawarkan kemudahan pembiayaan kredit bernilai antara RM50,000 hingga RM1 juta yang akan disalurkan oleh Bank Islam sebagai agen pengurus dana.

 

Najib berkata agenda pembangunan Bumiputera merupakan agenda nasional yang perlu diteruskan dalam bentuk tindakan dan program-program bagi mengisi agenda tersebut.

 

Antara langkah-langkah yang telah diambil kerajaan bagi memperkasa kaum Bumiputera termasuk memperluas skim usahawan permulaan bumiputera (SUPERB); melaksanakan dasar ‘carve-out’ iaitu sebahagian kontrak kerajaan yang besar diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera selain pembangunan modal insan, kata beliau.

 

Justeru, Najib menyarankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain agar mengikut jejak langkah TH dalam memperkenalkan dana bagi membantu usahawan Bumiputera.

 

Dalam sidang akhbar selepas itu, Abdul Azeez berkata Dana Bumiputera Al-Ansar merupakan hasil keuntungan yang diperoleh TH.

 

“Keuntungan tersebut kita keluarkan dan bagi pinjam untuk memberi peluang usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka selain memberi dividen yang tinggi kepada pendeposit,” katanya.

 

Katanya mereka yang berminat untuk memohon dana tersebut boleh ke cawangan Bank Islam di seluruh negara untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.