Bekas Vokalis Exist Ke Penjara Bentong

RAUB – Bekas penyanyi kumpulan Exist, Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat hari ini didenda RM4,500 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, dua tahun lalu.

 

Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusof turut memerintahkan Mamat, 37, diletakkan di bawah pengawasan Balai Polis Tampoi selama dua tahun.

 

Mamat yang memakai baju lokap berwarna ungu dan memakai topeng muka ekoran masalah kesihatan bagaimanapun gagal membayar denda dan dibawa ke Penjara Bentong untuk menjalani hukuman.

 

Mengikut pertuduhan, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Untukmu Ibu itu didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine ke dalam badannya di sebuah rumah di Kuala Lipis, dekat sini pada 19 Disember 2013.

 

Hasil siasatan polis dan ujian air kencing yang dianalisis oleh Jabatan Kimia mendapati Mamat positif dadah jenis tersebut.

 

Artis itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai, namun gagal hadir ke mahkamah seperti yang diarahkan untuk didakwa atas pertuduhan tersebut.

 

Pada 27 Mac lalu, Mamat sekali lagi ditahan reman oleh Mahkamah Majistret Ampang kerana disyaki mengambil dadah Amphetamine namun belum lagi didakwa atas kesalahan tersebut.

 

Pemenang tempat ketiga dan persembahan terbaik hasil undian penonton program realiti Gegar Vaganza baru-baru ini yang meraih RM20,000 itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohd. Azri Mohd. Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah.

 

Terdahulu, Fadlyzil Ikram memohon hukuman diringankan kerana anak guamnya telah mengaku bersalah selain memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

 

“Anak guam saya juga benar-benar insaf dan baru sahaja selesai konsert Gegar Vaganza dan masih mempunyai masa depan yang baik dengan bakatnya itu,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.