Akar Umbi Masih Sokong Najib – MP Pulai

Kuala Lumpur – MP Pulai, Nur Jazlan Mohamed tidak melihat bahawa sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak kini terhakis ekoran kontroversi yang dihadapi perdana menteri itu.

 

“Tidak ada isu mengenai kedudukannya dalam Umno dan BN. Saya rasa tanda sokongan daripada pemimpin Umno dan BN menunjukkan beliau tidak mempunyai isu di peringkat parti.

 

“Kedudukannya sebagai perdana menteri juga sama kerana ahli parlimen BN menyokong beliau.

 

“Di kalangan rakyat, satu-satunya ujian ialah pilihan raya umum yang masih jauh lagi,” katanya.

 

Beliau bercakap kepada pemberita hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) di Parlimen.

 

Menjawab satu soalan lain, Nur Jazlan berkata beliau tidak melihat sebarang bukti bahawa kontroversi seperti kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjejaskan sokongan pada Najib.

 

Begitu juga dengan dakwaan gaya hidup mewah Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah mengurangkan sokongan kepada Najib, katanya.

 

Nur Jazlan juga diminta mengulas mengenai nasihat Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, agar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Najib menyelesaikan perbezaan mereka secara tertutup.

 

“Kedua-duanya adalah orang besar dengan pendapat yang berbeza ke mana negara ini perlu tuju. Sama ada mereka dapat bertemu atau tidak, itu terpulang pada mereka…,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.