KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah dari sebuah unviversiti awam di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kerana disyaki memasukkan wang ke akaun peribadi.
Media melaporkan, SPRM menahan seorang profesor dari sebuah universiti awam untuk membantu siasatan kes salah guna jawatan berkait sejumlah RM30,000 hasil keuntungan penganjuran satu persidangan antarabangsa anjuran institusi berkenaan.
Sumber memaklumkan, lelaki berusia lingkugan 40-an berkenaan disiasat kerana disyaki memasukkan RM30,000 wang keuntungan hasil persidangan itu ke dalam akaun bank peribadi miliknya pada Ogos 2021.
Profesor gred Jusa C itu yang juga timbalan pengarah sebuah jabatan di universiti terbabit ditahan di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan sekitar jam 3.30 petang semalam.
SPRM kemudian memohon perintah reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini sebelum Majistret Nur Faizah Abdul Sani membenarkan lelaki berkenaan ditahan lima hari sehingga 6 Mac untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan profesor terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.