PH Takut Dengan Muafakat UMNO dan PAS – Tuan Ibrahim

MARANG – Pas mendakwa Pakatan Harapan (PH) takut dengan permuafakatan politik yang terjalin antara parti itu dan UMNO.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia boleh dilihat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands 26 Jan lalu.

Beliau juga yakin momentum itu dapat diteruskan menerusi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan berlangsung hari ini.

“Saya katakan begitu apabila mereka cuba serang Pas, serang UMNO, soal muafakat politik. Kalau kita tengok, sebenarnya berdasarkan keputusan pilihan raya dulu, kita perlukan lebih kurang 11 peratus keseluruhan undi.

“Dan kita tengok di kawasan-kawasan, sekiranya undi Pas dicampur dengan undi UMNO maka kita boleh mengalahkan PH. Jadi, ini yang dibimbangi mereka.

“Dan kita boleh tengok dalam pilihan raya di Cameron Highlands sebagai contoh, undi itu meningkat dengan banyak. Dan kita yakin di Semenyih pun kemungkinan besar (situasi sama) akan berlaku. Nampak moodnya begitu,” kata Tuan Ibrahim.

Pada PRK Cameron Highlands, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi tradisinya apabila calonnya Ramli Md Nor menang dengan majoriti 3,238 undi.

Beliau mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi, dan dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).

Sementara itu, ditanya berkaitan kenyataan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mengesahkan ada menerima RM1.4 juta untuk menyelesaikan kes saman dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di luar mahkamah, beliau memaklumkan tidak mempuyai maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.